Friday, April 5, 2019

Pindaan tidak ambil kira aspirasi rakyat Sabah, Sarawak


Pembentangan usul Pindaan Perlembagaan berkaitan Perkara 1 (2) membabitkan status Sabah dan Sarawak semalam disifatkan tergesa-gesa dan tanpa mengambil kira roh dan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penyokong Pakatan Harapan (PH) berpendirian, pindaan itu tindakan paling asas dalam mengembalikan hak Sarawak dan Sabah selari janji manifestonya menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.
Ahli Parlimen pembangkang pula tidak bersetuju cara usul dibentangkan kerana tidak membabitkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan Sabah dan Sarawak.
Malah, mereka mahu ia dibentangkan di Dewan Undangan negeri Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berterima kasih dan menghargai usaha Kerajaan Persekutuan membuat pindaan berkenaan, namun berpendapat ia dibuat secara terburu-buru tanpa memberi peluang yang cukup kepada pemegang taruh serta semua yang terbabit untuk mengkaji dan membincangkan intipati pindaan yang dicadangkan, sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
“Pindaan berkenaan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambil kira pandangan semua pihak atau pemegang taruh terbabit di Peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah,” tegas Datuk Sri Fadillah Hj Yusof.
Ujarnya, GPS  berpendirian cadangan pindaan yang dilakukan hanyalah bersifat kosmetik semata-mata dan langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.
Justeru, katanya, GPS mencadangkan supaya pindaan ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuasa Pemandu MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai hak-hak Sarawak dan Sabah di bawah MA63 dimuktamadkan.
“Ini disebabkan persoalan pokok berhubung kait dengan hak-hak dan keistimewaan yang dituntut oleh Sarawak termasuklah hak-hak Sarawak yang terhakis tidak dimasukkan  dalam cadangan pindaan berkenaan,” tegasnya lagi.
Contohnya menurut Ahli parlimen Petrajaya itu, melibatkan Perkara 160 mentakrifkan “persekutuan” dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung.
Jelasnya,  juga membabitkan bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator serta ahli Jemaah Menteri Persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama
taraf.
Dengan erti kata lain, katanya, pindaan mesti merangkumi semangat dan roh yang terkandung dalam MA63 dibaca bersama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Sarawak juga tetap dengan pendirian bahawa sebarang pindaan perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat,” kata Fadillah.
“Apa yang utama bagi Sarawak ialah pindaan secara menyeluruh melibatkan hak-hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sarawak dan bukan setakat menukar status Sarawak sebagai rakan kongsi sahaja,” katanya.
“Ini kerana penukaran status sahaja tanpa hak yang telah terhakis dikembalikan kepada Sarawak, tidak akan membawa sebarang makna kepada pindaan berkenaan dan apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Sarawak selama ini,” katanya.
Bacaan kali pertama rang undang-undang tersebut dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
RUU itu menyatakan pindaan dibuat selaras dengan semangat MA63, selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan Sabah dan Sarawak, serta rakyat kedua-dua negeri terbabit

No comments:

Post a Comment

Loading...