Tuesday, April 2, 2019

Pengukuran tanah NCR di Sarawak mula dilaksanakan sejak tahun 1960-an


Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah mula dilaksanakan sejak tahun 1960an lagi menerusi Operasi Penyelesaian dan Program Pengukuran Kampung Tradisional sejak awal tahun 2000.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini menunjukkan Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai dan mengiktiraf Tanah NCR milik rakyat.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah mereka. Ianya telah dilaksanakan sejak tahun 1960 menerusi Program Operasi Penyelesaian.
“Manakala, Program Pengukuran Kampung Tradisional yang telah dilaksanakan sejak awal tahun 2000,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Mini Regatta Oya Dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KPN dan Seksyen 13 di Oya Square, Oya Dalat, semalam.
Mengenai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pula, Datuk Amar Douglas berkata ia menggunakan pendekatan perimeter di peringkat pertama dan kawasan tersebut diwartakan di bawah Seksyen 6 KTN.
“Selepas pengukuran pertama di bawah Seksyen 6 KTN, baharulah dilaksanakan pengukuran lot-lot individu di peringkat kedua untuk dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak akan terus melakukan Program Pengukuran Kampung Tradisional sebagai jaminan kepada hak milik ke atas tanah para penduduk kampung bagi kampung-kampung yang telah lama wujud.
“Ini penting bagi memastikan sempadan tanah menjadi jelas dan diketahui bagi mengelakkan sebarang pencerobohan dan pertikaian diantara individu.
“Pengukuran tanah ini dapat menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka menjadi setinggan di atas tanah sendiri,” tambahnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingan YB Yakup bin Hj Arbi, Residen Bahagian Mukah Hamidah binti Hj Bekir, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamahari bin Awang Mahmud Temeggong Bahagian Mukah selaku Pengerusi Jawatankuasa Mini Regatta Oya Temenggong Haji Hendi bin Suhai.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah memohon diwujudkan Lembaga Rumbia Sarawak bagi membolehkan harga-harga rumbia dapat dikawal.
“Kebanyakan pekebun di kawasan Dalat ini lebih memfokuskan kepada penanaman rumbia.
“Adalah penting sekiranya Lembaga Rumbia Sarawak ini diwujudkan ia membolehkan harga-harga rumbia dapat dikawal.
“Malah, sistem pengurusan pekebun-pekebun kecil dapat diadakan dengan teratur selain menambah peruntukan bagi subsidi tanaman rumbia,” katanya.
Pada majlis itu, Datuk Amar Douglas telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 ribu kepada Jawatankuasa Regatta Oya untuk aktiviti mereka dimasa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Loading...