Monday, April 1, 2019

Mengapa anda perlu menjadi pengundi di Sarawak


Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas, lebih kurang 14 juta rakyat Malaysia sepatutnya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Apa yang mengejutkan, lebih kurang 3.6 juta yang sudah berumur 21 tahun belum mendaftar sebagai pengundi.
Di Sarawak, mengikut bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, seramai 1,769,661 rakyat Sarawak berusia 21 tahun ke atas sepatutnya berdaftar sehingga 6 September 2017, tidak berbuat demikian.
“Daripada jumlah tersebut (1,769,661) jumlah yang berdaftar sebagai pemilih di Sarawak sehingga 30 September 2017 ialah seramai 1,212,109 orang. Lebih 557,000 atau 31 peratus rakyat Sarawak berstatus warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pengundi sehingga 30 September 2017,” katanya.
Manakala dari segi demografi pemilih di Sarawak, Mohd Hashim berkata berdasarkan Daftar Pemilih sehingga suku ketiga 2017, majoriti pemilih adalah dalam lingkungan usia 40 hingga 49 tahun, iaitu merangkumi lebih kurang 273,000 atau 22 peratus.
Ia diikuti kalangan pemilih yang berumur 30 hingga 39 tahun yang merangkumi 256,000 orang atau 21 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar di Sarawak, tambahnya.
Pecahan terperinci ialah pemilih berusia 21-29 tahun ialah 12.6 peratus, 30 hingga 39 tahun (21.2 peratus), 40-49 tahun (22.6 peratus), 50 hingga 59 (20.6 peratus), 60 hingga 69 tahun (13.7 peratus), 70-79 tahun (6.4 peratus), 80 hingga 89 tahun (2.2 peratus) dan 90 tahun ke atas (0.7 peratus).
Apa yang amat mengejutkan ialah mereka yang berumur 30 hingga 49 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada senarai yang sudah layak mendaftar sebagai pengundi, namun tidak berbuat demikian iaitu sebanyak 43.8%.
Persoalannya, mengapa mereka tidak mendaftar sebagai pengundi setelah layak berbuat demikian? Apakah kekangan untuk mendaftar sebagai pengundi? Ini merupakan persoalan yang perlu dirungkai.
Yang pasti, lebih separuh daripada jumlah yang belum mendaftar sebagai pengundi di Sarawak merupakan kaum bumiputera Sarawak.
Tidak dinafikan kaum Iban yang merupakan majoriti di Sarawak ialah kaum yang menyumbang kepada peratusan yang besar dalam kalangan yang berumur 30 hingga 49 tahun yang belum mendaftar sebagai pengundi.
Kenapa? Adakah kesedaran tentang hak mengundi ini dianggap perkara yang remeh temeh sahaja?
Dalam perlembagaan persekutuan di bawah Bahagian VIII berkenaan Pilihan Raya, Perkara 119 Kelayakan Pemilih, mengatakan bahawa setiap warganegara yang mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan layak untuk mendaftar sebagai pengundi.
Hal ini jelas menunjukkan di Malaysia, semua warganegara yang berumur 21 tahun ke atas wajib untuk mendaftar sebagai pengundi.
Sementara itu, ada cakap-cakap mengatakan bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membawa usul berkenaan dengan penurunan had umur rakyat Malaysia yang layak mengundi kepada 18 tahun.
Perkara ini amat baik, tetapi persoalannya, adakah kita atau rakyat sudah bersedia untuk mendaftar sebagai pemilih?
Sejauh manakah penurunan had umur layak sebagai pengundi ini dapat menarik minat golongan muda untuk mendaftar?
Sekiranya usul ini diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat Mac ini, usaha yang harus terus dilakukan adalah memastikan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun mendaftar untuk mengundi. Bagaimana? Apakah mekanisme digunakan?
Bak kata pepatah, ‘Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’. Kerajaan harus tegas dengan keputusan supaya semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi.
Ini bermaksud, semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun wajib didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi.
Kenapa penting sangat mendaftar serta mengundi apabila tiba pilihan raya?
Inilah perkara yang perlu diketengahkan oleh mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu berkaitan dengan kepentingan mendaftar sebagai pengundi dan mengundi apabila tiba pilihan raya.
Abraham Lincoln, Presiden ke-16 Amerika Syarikat berkata, “kertas undi lebih kuat daripada peluru.”
Jelas di sini apa yang diperkatakan oleh Presiden ke-16 Amerika Syarikat itu  mengambarkan betapa pentingnya undi anda. Jadi, daftarkan diri sebagai pengundi yang membolehkan anda mengundi apabila tiba pilihan raya.
Dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia, dengan sistem majoriti mudah dalam menentukan kemenangan sesebuah parti politik yang bertanding, maka amat signifikan untuk individu yang bertanggungjawab mendaftar sebagai pengundi dan mengundi setelah mencapai had umur yang dibenarkan untuk berbuat demikian.
Maka inisiatif untuk mendaftar pengundi yang telah mencapai umur layak mendaftar mengundi secara automatik merupakan satu langkah penting untuk memastikan penglibatan rakyat Malaysia dalam proses demokrasi.
Justeru dengan mendaftar sebagai pengundi, individu itu sah untuk bercakap berkenaan dengan politik.
Menariknya, seperti di Australia, individu yang sudah layak mengundi, tetapi tidak menunaikan tanggungjawab tersebut semasa pilihan raya akan didenda seperti yang termaktub dalam akta pilihan raya negara tersebut.
Persoalannya, adakah kita bersedia untuk melaksanakan perkara ini di Malaysia bagi memastikan partisipasi rakyat dalam demokrasi?
Apakah mekanisme yang dapat digunakan untuk memastikan rakyat yang mendaftar sebagai pengundi mengundi semasa ada pilihan raya?
Sebagai rakyat yang mendukung demokrasi serta bertanggungjawab, kita harus mendaftar diri sebagai pengundi demi menyuburkan lagi demokrasi di negara kita.
Adakah kerana muak dengan politik pada masa kini merupakan penyebab masih ramai lagi rakyat yang sudah layak belum mendaftar mengundi?
Parti politik harus memainkan peranan bagi memberi pendedahan serta pendidikan berkenaan dengan pentingnya mendaftar sebagai pengundi.
Ini kerana satu undi itu amat berharga apabila musim pilihan raya. Daftarlah sebagai pengundi sekiranya anda sudah layak untuk berbuat demikian.
Penulis ialah pensyarah dalam bidang sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Loading...