Tuesday, April 2, 2019

Kerajaan Pusat Cuba Kelentong Rakyat Sarawak Tentang Hutang


Kerajaan Pusat berhutang berbilion kepada Sarawak dari segi peruntukan untuk pembangunan dan pentadbiran seperti yang dijanjikan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada tahun 1960 an selepas merdeka, sejumlah RM4 juta setahun diagihkan kepada Sarawak bagi tujuan tersebut dan digandakan selepas semakan dibuat setiap lima tahun sekali.

“Mengikut perlembagaan, setiap lima tahun sekali peruntukan ini mesti disemak semula tetapi kali akhir semakan dibuat adalah pada tahun 1969.

“Mengikut kajian Kerajaan Sarawak, sekarang ini peruntukan bagi tujuan pembangunan dan pentadbiran Sarawak daripada kerajaan pusat meningkat sebanyak 119 peratus.

“Jika dikira pengeluaran minyak kita dan penggunaannya untuk pembangunan, bayangkan berapa bilion pusat berhutang dengan kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kecemasan dan Geran MRP Parlimen Santubong peringkat N.4 Pantai Damai hari ini di Pusat Khidmat Parlimen Santubong.

Tambah Wan Junaidi, kerajaan pusat cuba kelentong rakyat Sarawak dengan mengatakan Sarawak mempunyai tunggakan hutang yang perlu dibayar kepada kerajaan pusat secara berkala.

Pada hal menurut Wan Junaidi, kerajaan pusat sendiri mempunyai timbunan hutang yang perlu dibayar kepada Sarawak seperti yang dijanjikan dalam Perlembagaan Malaysia.

Malah katanya kerajaan pusat turut gagal melunaskan kerugian yang perlu dibayar kepada Sarawak kesan daripada menandatangani Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) 1985.

“Kita sebagai rakyat Sarawak perlu tahu perkara ini dan sebab itu Pakatan Harapan (PH) bersungguh untuk menawan negeri ini.

“Jadi, pertahankan Sarawak daripada PH dan jangan menangis apabila kalah nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Loading...