Friday, April 5, 2019

Bung Mokhtar: Ahli Parlimen PH Sabah, Sarawak jangan pengecut



Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 Perkara 1 (2) bukanlah satu perkara yang boleh dipolitikkan.
Justeru Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, beliau menyeru ahli Parlimen PH dari Sabah dan Sarawak agar jangan bersifat pengecut untuk tampil ke hadapan demi masa depan anak cucu rakyat Sabah dan Sarawak.
“Ini soal maruah dan masa depan Sabah dan Sarawak maka kita tidak boleh main politik dalam soal ini. Jadi saya amat berharap agar ahli Parlimen PH yang berasal dari Sabah dan Sarawak, jangan tutup mulut,” katanya.
“Jangan disebabkan takut hilang kuasa atau takut pemimpin mereka maka masa depan negeri digadai,” tegas beliau dalam sidang media bersama blok pembangkang di Parlimen, Khamis.
“Dulu Sabah dan Sarawak dalam kategori A tetapi cadangan ini meletakkan Sabah dan Sarawak dalam kategori B seolah-olah diturun status… bukan rakan setara,” ujarnya.
Tegas Bung Mokhtar, seperti dipetik portal Umno, UMNO Sabah membantah pindaan akta ini kerana ia bukan satu aspirasi yang bertepatan dengan apa yang dituntut oleh rakyat Sabah sendiri.
“Sama seperti pemimpin di Sarawak, kami turut memohon agar PH mempertimbang memberi ruang lingkup yang lebih luas kepada pemimpin di Sabah dari semua parti politik untuk berbincang dalam satu jawatankuasa terpilih dan daripada perbincangan ini kita akan terima apa sahaja keputusan yang dibuat kerana inilah yang terbaik dan yang dijanjikan oleh PH untuk wujudkan seberapa banyak jawatankausa terpilih,”’ katanya lagi.
“Pindaan Perlembagaan ini amat penting dan bermakna tetapi apa yang dapat kita lihat melalui pembentangan tadi, ia hanya merupakan satu pindaan kosmetik, tidak memberi sebarang makna kepada Sabah dan Sarawak,” bidas beliau.
Terdahulu kerajaan menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak di dalam Negeri-Negeri Persekutuan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Loading...