Wednesday, April 17, 2019

193 juta mengundi di Indonesia hari ini, tentukan nasib Jokowi



HARI ini, Rabu 17 April, Indonesia memilih bakal Presiden untuk negara 260 juta jiwa itu.
Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 merupakan pesta demokrasi mengagumkan di negara 17,500 pulau itu.
Keluasan Indonesia itu menjadi cabaran besar kepada agensi yang dipertangungjawabkan untuk kendalikan pemilu.
Faktor ini  juga menjadi cabaran kepada calon dan parti politik yang bertanding.
Hakikatnya, beberapa kawasan terpencil atau belum dibangunkan akan terlepas daripada mengundi kerana penduduknya masih tidak mempunyai kad pengenalan atau KTP.
Bayangkan, keadaan muka bumi yang luas dan rencam,  meliputi pulau, lautan, bukit-bukau, gunung-ganang, sungai, tanah tinggi, dan dataran pamah.
Terdapat faktor perbezaan mikro geopolitik di negara seluas 1,904,596 kilometer persegi ini.
Sesungguhnya, setiap kawasan mempunyai isunya tersendiri.
Misalnya, isu  di Pulau Jawa tidak sama dengan di Sumatera atau Kalimantan.
Yang pasti, ini pesta demokrasi yang seru dan ghairah.
Pemilu 2019 bukanlah sekadar pertembungan penyandang Presiden, Joko Widodo atau i Jokowi, 57, dengan lawannya, Prabowo Subianto, 67.
Malah, Pemilu ini menjadi ‘temasya’ bagi 193 juta pengundi.
Mereka yang berusia 17 tahun yang memegang kad pengenalan diri yang dikenali sebagai e-KTP layak mengundi. Begitu juga mereka berusia 16 tahun yang telah berkahwin.
Namun,  polis dan tentera dikecualikan sesuai dengan amalan politik berkecuali.
Mereka bakal memilih 20,538 pemimpin bagi 20,538 kerusi perundangan di lima peringkat kerajaan.
Terdapat 809, 500 tempat mengundi.
Yang hebat ialah seramai 250,000 calon yang bertanding untuk merebut jawatan berkenaan.
Sejumlah 7,968 calon legislatif (caleg) Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada 20 parti politik nasional terlibat dalam pilihan raya legislatif (Pileg) yang mempunyai 575 kerusi.
Sejumlah 807 caleg lagi bertanding untuk  Dewan Perwakilan Daerah (DPD) bagi merebut 136 kerusi.
Puluhan ribu caleg lagi merebut 19,817 kerusi di peringkat Dewan Undangan Provinsi (DPRD).
Kali ini bukan saja jawatan Presiden menjadi pertaruhan, tetapi juga kerusi dewan legislatif, susulan proses desentralisasi kuasa di Indonesia.
Pemilu 2019  unik kerana untuk pertama kali membabitkan lima peringkat pemilihan secara serentak di seluruh republik itu.
Maka, pengundi dari Sabang ke Marauke akan membuat perhitungan sama ada memilih Jokowi yang memang popular atau Prabowo.
Atau adakah sekali lagi Prabowo akan tewas di tangan Jokowi yang merakyat?
Rata-rata jejak pendapat atau survei politik, meramalkan Jokowi akan muncul juara.
Pemilu kali ini menelan belanja hampir Rp.24.8 trilion atau RM7.1 bilion melibatkan 34 provinsi, 514 kabupaten/kota, 7,201 kecamatan dan 83,770 kelurahan/desa.
Bayangkan, bagaimana meriahnya pesta berkenaan di sebalik demokrasi Indonesia yang semekin berkembang.
Calon Presiden berdebat dalam lima pusingan menyentuh pelbagai isu, disiarkan langsung melalui kaca TV.
Tetapi di akar umbi, kempen yang berkesan adalah dari rumah ke rumah.
Perang di media sosial juga tidak kurang hebatnya, dengan pelbagai isu diutarakan.
Malah, kempen hitam turut digunakan dengan menyebarkan fitnah terhadap calon, tidak terkecuali terkena Jokowi juga.
Bagi Jokowi yang baru balik dari Makkah, tumpuannya adalah kepada pembangunan prasarana.
Jokowi turut mempromosi Kad Smart Indonesia (Kartu Indonesia Pintar), Paket Makanan Asas Murah (Kartu Sembako Murah) dan Kad Prakerja (Kartu Pra-Kerja).
Bagi Prabowo, beliau menjual janji akan menurunkan harga barangan keperluan asas dalam tempoh 100 hari pertama sebagai Presiden.
Prabowo turut menekankan isu ketirisan belanjawan dan  hutang Indonesia yang didakwa terbesar dalam sejarah.
Sesungguhnya, beliau begitu ghairah menjadi Presiden setelah tewas sebelum ini.
Berbanding Jokowi yang dilihat agak lembut, Probowo mendukung imej tegas serta minat terhadap isu antarabangsa kerana sikapnya sebagai bekas Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Prabowo mengkritik pelaksanaan undang-undang pada era Jokowi yang dianggap lemah khususnya dalam memerangi rasuah.
Namun, dipercayai Jokowi yang memiliki sentuhan kerakyatan dan sering menampilkan sikap rendah hati, berperwatakan rakyat biasa, mempunyai tempat di hati rakyat.
Blusukan atau program menemui rakyat biasa di akar umbi menjadi jenamanya. Strategi dan pendekatan ini diamalkannya sejak menjadi Wali Kota Solo dan Gabenor Jakarta sehingga membawa ke Istana Presiden.
Beliau dipercayai mendapat sokongan daripada golongan kelas bawahan di desa dan kota kerana dasar membangunkan Indonesia selari dengan slogan Jokowi-Amin: Indonesia Maju.
Di sebalik ketegasannya, Prabowo mampu menyantuni generasi milenia yang menuntut perubahan.
Seperti di Malaysia, isu mereka ialah perumahan, peluang kerja, dan kos sara hidup.
Regu Jokowi, Ma’ruf Amin, 76, ulama terkenal Indonesia juga dipercayai membantu di sebalik tuduhan dan fitnah bahawa Jokowi kurang mengutamakan agama.
Cawapres Prabowo pula, Sandiaga Uno merupakan bekas wakil Gabenor Jakarta.
Berusia 50 tahun, beliau difahamkan mendapat dukungan golongan milenia.
Ini faktor penarik golongan muda berbanding Amin yang  berusia 76 tahun.
Keputusan pemilu kali ini amat mendebarkan kerana belum apa-apa lagi Prabowo sudah mengancam akan menggugat keputusan di mahkamah jika beliau tewas.
Bagi Indonesia ke hadapan, Jokowi dipercayai sekali lagi akan menang pemilihan kali ini dalam usahanya untuk memenuhi agenda terus merancakkan pembangunan Indonesia.
Profesor Madya Dr Jeniri Amir, pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak berminat mengikuti dan menulis isu politik Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Loading...