Friday, March 22, 2019

[Video] 7 Rumah di Kampung Hilir, Sibu terbakar, Jemaah masjid bantu padam kebakaran


SIBU: Keadaan tenang sementara menunggu masuk waktu solat Jumaat bertukar cemas sejurus berlaku kebakaran memusnahkan tujuh rumah di Kampung Hilir, di sini tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku kurang 400 meter dari Masjid An-Nur, di sini, dengan jemaah turut bergegas membantu memadamkan kebakaran dan menyelamatkan harta benda milik penghuni rumah.

Pemangku Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.07 tengah hari sebelum anggota bersama jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan.

“Keseluruhannya, 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran, termasuk kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, api sudah merebak ke beberapa rumah berhampiran berikutan cuaca panas dan kering.

“Bagaimanapun, anggota di lapangan berjaya mengawal api dari terus merebak dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 40 minit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Katanya, dari keseluruhan rumah berkenaan, empat didapati musnah sepenuhnya, manakala tiga lagi kediaman terbakar 80 peratus.

“Keseluruhannya, 73 mangsa dari sembilan keluarga hilang tempat tinggal. Kini, agensi berkaitan sedang mengumpulkan maklumat penuh mangsa terbabit bagi membantu memudahkan penyaluran bantuan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.



LIHAT video: https://youtu.be/fPypNC_a5h4


No comments:

Post a Comment

Loading...