Sunday, March 17, 2019

Jururawat, pekerja luar pantai di Miri jadi mangsa pinjaman tak wujud,


MIRI: Dua individu di bandar raya ini menjadi mangsa terbaharu kes penipuan pinjaman tidak wujud melibatkan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM5,560.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mangsa pertama melibatkan seorang jururawat wanita, 32, yang mengalami kerugian RM2,160.

"Mangsa menerima satu pesanan ringkas pada 15 Mac lalu dari satu nombor telefon yang menawarkan pinjaman wang kepadanya dan mangsa berminat meminjam wang sebanyak RM20,000.

"Pada 16 Mac, mangsa yang terdesak telah membuat transaksi atas talian ke akaun bank suspek sebanyak RM2,160 selepas diarahkan suspek kononnya sebagai membayar duit takaful insurans," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jururawat wanita itu menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas itu.


Sementara itu, kes kedua melibatkan seorang lelaki, 43, yang merupakan pekerja luar pantai mengalami kerugian RM3,400.

Mustafa Kamal berkata mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 selepas dihubungi oleh seorang wanita pada 16 Mac yang menawarkan pinjaman wang.

"Mangsa memindahkan wang sebanyak RM400 ke akaun bank suspek setelah dimaklumkan oleh suspek bahawa mangsa perlu membuat bayaran jumlah itu untuk meluluskan pinjaman.

"Pada hari yang sama mangsa menerima panggilan dari seorang lelaki yang mengarahkan mangsa membuat bayaran insurans pinjaman sebanyak RM3,000 dan mangsa telah memindahkan jumlah wang tersebut ke akaun bank suspek," katanya.

Mangsa menyedari telah ditipu selepas suspek memberi banyak alasan kepada mangsa.



No comments:

Post a Comment

Loading...