Sunday, March 31, 2019

#PRKRantau :UMNO Bangkit?



Pesta demokrasi tercetus lagi apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) ketujuh akan diadakan di Negeri Sembilan. PRK DUN27 Rantau akan diadakan pada 13 April manakala penamaan calon telah diadakan pada 30 Mac lepas.   Sebelum ini PRK terus berterusan sejak berlangsung di DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highland dan DUN Semenyih.
Sesungguhnya sejak PRU ke-14 pada Mei 2018, memberikan dinamika politik kepada proses demokrasi di negara ini.  Malah, PRK seterusnya pula ialah di parlimen Sandakan Sabah apabila penyandangnya ahli parlimen DAP meninggal dunia selepas mengadakan aktiviti bersama rakyat.
PRK Rantau dijangka menjadi tumpuan besar dalam konteks nasional kerana ia melibatkan kedudukan Timbalan Presiden yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden Umno, iaitu Dato’ Seri Mohamad Hasan selepas UMNO mahu melakukan pembersihan dalaman parti dan mengembalikan keyakinan rakyat bahawa parti itu benar-benar mahu dan sudah berubah.
UMNO Menang?
Sekiranya UMNO menang pada PRK kali ini, bermakna masa depan  UMNO dan BN akan menjadi lebih cerah. Kebangkitan dan pemulihan UMNO yang sedang direncanakan akan berjalan dengan lebih rancak. Peluang Tok Mat Hasan naik tangga politik yang lebih tinggi akan lebih jelas.
Sudah pasti, dalam kalangan akar umbi mahukan kepimpinan baharu memimpin parti berteraskan Melayu tersebut  akan terhasil. Umno sebenarnya memerlukan newcomer politik dalam memberikan naratif baru kepada rakyat bahawa parti tersebut sedang melakukan transformasi dalaman dengan melakukan peralihan kuasa di peringkat  kepimpinan tinggi. Watak baru yang diperlukan oleh umno ada pada imej Tok Mat sebagai pembentukan ikon baru UMNO.
Lanjutan daripada ini, sekiranya kemenangan PRK ini berpihak kepada BN, maka peluang Tok Mat menjadi presiden parti akan lebih cerah. Sudah pasti, langkah selanjutnya ialah Tok Mat akan bertanding parlimen pada pilihan raya umum akan datang. Hal ini kerana sebagai bakal pemimpin parti politik beliau perlu bermain di liga politik yang lebih besar di Dewan Rakyat.
Peluang Tok Mat terbuka luas, bukan lagi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya BN kembali memerintah, akan tetapi berpeluang menjadi Perdana Menteri Barisan Nasional. Namun realiti politik tidaklah semudah tersebut. Banyak cabaran yang perlu Tok Mat perlu harungi termasuk kumpulan politik lama yang dahulu merupakan watak-watak UMNO lama yang ingin kembali dalam arus perdana  semula. Ini termasuklah Najib Razak dan Khairy Jamaluddin.
Pengalaman
Tok Mat mampu berbekalkan sebagai anak tempatan yang lahir dan membesar di Rantau untuk dijadikan sandaran keyakinan kepada pengundi di DUN Rantau sejak tahun 2004 dan  seterusnya menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum BN tewas di Negeri Sembilan. Sudah pasti ahli umno tidak mahu pemangku presiden UMNO tersebut tiba-tiba tewas di kawasan DUN yang sudah tiga penggal berkhidmat. Sekiranya tewas, masa depan UMNO dan BN akan gelap. Inilah PRK hidup dan mati masa depan UMNO!
Watak kepimpinan mesra rakyat, dekat dengan akar umbi, bersifat sederhana dan tidak mempunyai isu kontroversi ini mampu menjadi tarikan politik. Berpengalaman luas sebagai tokoh korporat dan pernah bekerja di Cycle and Carriage Bintang Berhad dan sering bertutur dialek Negeri Sembilan ini mampu menarik pengundi di Rantau.
Sebelum ini kepimpinan beliau terbukti apabila berjaya menjalinkan kerjasama Umno dengan PAS dengan lebih erat khususnya selepas  pilihan raya umum 2018. Kerjasama yang baik ini membawa kemenangan dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih.
Lawan Sebenar
Pertarungan sebenar dalam PRK ini ialah di antara BN dan PKR meskipun terdapat dua calon bebas yang kurang dikenali masyarakat di DUN Rantau. Hakikatnya pula Rantau  yang mempunyai sekitar 20,804 pengundi merupakan kawasan campuran.
Pengundi Melayu mewakili  55.11 peratus atau 11,283 manakala  pengundi terbesar kedua ialah pengundi India  yang terdiri daripada 26.06 peratus atau 5,336 pengundi manakala pengundi Cina  mewakili 18.80 peratus atau 3,849 pengundi. Ini bermakna naratif yang BN bawa perlu lebih inklusif dan  tidak terlalu menekankan politik etnik dan Tok Mat pula diterima oleh semua etnik berdasarkan rekod pada pilihan raya umum.
Manakala Streram pula dianggap ahli PKR Rantau sebagai orang luar dan terdapat seolah-olah politik dalaman PKR  kurang memihak kepada Streram apabila orang kuat PKR sendiri iaitu Dato’ Seri Santhara Kumar Ramanaidu membuat laporan polis kononnya Streram tidak membayar hutangnya sebanyak RM62,000.  Isu ini agak aneh kerana ditimbulkan menjelang PRK Rantau seolah-olah perang proksi dalam PKR sedang berlaku.
Apapun pilihan pengundi, ia bakal ditentukan oleh pengundi dewasa ( 40 hingga 59 tahun) sebanyak iaitu 8,538 atau 40.37 peratus. Pengundi belia (21 hingga 39 tahun)  mewakili 7,589 orang atau 36.26 peratus manakala warga emas (60 tahun ke atas) mewakili sebanyak 4,799 atau 22.94 peratus. Daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, PH kini menguasai 20 kerusi DUN manakala 16 dimiliki oleh BN.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

No comments:

Post a Comment

Loading...