Monday, March 18, 2019

Buruh rogol anak dihukum penjara 100 tahun, 50 sebatan


BAU: Seorang buruh warganegara Indonesia dijatuhi hukuman 100 tahun penjara dan menerima 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan kerana merogol anak kandungnya sejak empat tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang berusia 32 tahun dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan oleh Hakim Marutin Pagan, yang diarahkan untuk berjalan secara serentak.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima dalam Mahkamah Sesyen berlainan, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan, dan diarahkan untuk menjalani hukuman tersebut secara berasingan oleh Hakim Jason Juga.
Jason mengarahkan hukuman penjara yang dijatuhkan di mahkamahnya berjalan berasingan dengan hukuman penjara terdahulu.
Dengan itu, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 80 tahun kerana pertuduhan pertama dan kedua yang berjalan secara serentak.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon, perbuatan keji tertuduh tebongkar selepas mangsa mengadu kepada seorang penolong perubatan di Klinik Kesihatan Serasot di Bau pada 4 Mac lalu.
Remaja perempuan terbabit dibawa oleh ibu bapanya ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana selesema sekitar pukul 8.30 pagi.
Ketika remaja berkenaan menerima rawatan dari seorang penolong pegawai kesihatan, mangsa memberitahu dia dirogol oleh bapa kandung sejak berumur 10 tahun secara paksa.
Perkara itu berlaku tanpa pengetahuan ibu mangsa dan semasa ketiadaan ahli keluarga lain di rumah.
Ekoran insiden tersebut, tertuduh diberkas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serasot, sekitar 11.10 pagi pada hari yang sama.

Utusan Sarawak
Gambar :Sin Chew 

No comments:

Post a Comment

Loading...