Wednesday, March 20, 2019

Bomba hantar air ke Medamit ekoran kemarau


LIMBANG: Anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menghantar 66,000 liter air ke kawasan sekitar Medamit, kelmarin bagi membantu penduduk yang berdepan masalah kekurangan air berikutan musim kemarau.

Ketua BBP Limbang Tawang Lingem berkata, sebanyak 242,000 liter air sudah diagihkan selama tiga hari sejak Jumaat hingga Ahad lepas ke kawasan terjejas di sekitar Medamit termasuk keperluan sekolah menengah luar bandar SMK Medamit.

“Hari ini (semalam) kita masih dalam proses mengagihkan air ke kawasan sekolah dan sekitar Medamit,” katanya kepada media di sini, semalam.

Bagaimanapun beliau turut terkilan kerana tidak dapat mengagihkan saluran air ke kawasan lain kerana kawasan tersebut tidak dapat diakses melalui jalan darat.

“Walaupun kita mendapat permintaan untuk menghantar air bersih kepada penduduk terjejas tetapi ada kawasan berkenaan tidak dapat diakses oleh jentera bomba,” ujarnya lagi.

Beliau turut memohon maaf kepada penduduk rumah panjang dan sekolah-sekolah lain yang tidak dapat di hubungi untuk penghantaran air kerana jentera terlampau berat dan besar.

“Kita bersimpati dengan keadaan penduduk kerana tidak dapat menghantar bekalan air berikutan keadaan jalan yang tidak memuaskan,” katanya lagi.



No comments:

Post a Comment

Loading...