UMNO perlu jadi pembangkang berwibawa, bukan merapu macam Kerajaan PH - Randau Sarawak

Breaking

Monday, December 31, 2018

UMNO perlu jadi pembangkang berwibawa, bukan merapu macam Kerajaan PH


UMNO perlu menjadi pembangkang yang berwibawa dan menjuarai rakyat agar parti keramat ini dilihat sebagai sebuah parti yang mampu membela nasib rakyat, kata Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.




Jelas beliau, sekiranya UMNO mampu menjadi lidah rakyat, beliau yakin rakyat akan melihat dan kembali menilai kredibiliti UMNO.

“Pembangkang berwibawa maksudnya mesti mempunyai kepakaran dalam bidang kita… sekarang ini orang semua berpengetahuan, maklumat berada di hujung jari… sudah jadi pembangkang mesti ada kewibawaan sendiri, kalau bercakap mesti berfakta… kalau bahaskan isu mesti secara berfakta… jangan pakai cakap tanpa fakta. Itu akan hilangkan kredibiliti dan kewibawaan kita.

“Sebagai ahli dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Negeri, kita mesti jadi lidah rakyat sebab tujuan berpolitik ini adalah memperjuangkan hak dan isu rakyat. Kalau kita boleh beroperasi dalam keadaan sebegini dengan menjadi pembangkang yang sentiasa membawa suara rakyat, menjadi semak dan imbang pada dasar-dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan, kita bahas dengan baik, dengan fakta, saya yakin orang akan melihat dan menilai kita,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Selain itu, Mohamad turut berkata, perkembangan politik tanah air masa kini menjurus kepada sistem dua parti iaitu antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak dapat elak lagi daripada sistem dua parti yang mana banyak berlaku di negara barat. Tidak ada lagi parti bersepah-sepah. Dalam PRU-14 pun sudah jelas dan cuma ada satu parti sahaja yang bersendirian macam PAS.

“Saya yakin dalam PRU-15 sistem dua parti ini akan menjadi kenyataan. PH dengan blok BN atau mungkin dengan nama lain tapi itu tidak penting. Rakyat juga akan boleh menilai dan dalam sistem dua parti itu pertukaran kerajaan adalah biasa… kadang-kadang satu itu mampu bertahan satu penggal sahaja.




“Maka dalam keadaan begini BN dan UMNO mesti berwibawa agar orang ramai mampu menilai dan ia mampu memberi harapan kepada rakyat untuk kembali menaruh harapan kepada kita. Kita pungut suara rakyat kerana banyak isu sekarang ini yang boleh dibawa seperti isu Felda, kerajaan yang flip-flop… BR1M dulu dedak sekarang jadi Basah… hanya tukar brand,” ulas Mohamad.

Berbicara berkaitan kerajaan baru pimpinan PH ini, Mohamad menjelaskan, hala tuju kerajaan langsung tidak kelihatan malah pentadbiran kerajaan baru sangat caca marba apabila dibarisi oleh barisan menteri yang sering mengeluarkan kenyataan merapu.

“Hala tuju kerajaan sekarang yang saya nampak hanyalah hendak melaksanakan jambatan bengkok dan juga kereta Nasional ketiga, yang lain tidak ada apa… janji pilihan raya tidak ditepati… apa yang tidak dijanji diberi keutamaan sedangkan yang dijanji tidak dibuat. Saya tidak tahu apa nak jadi dengan kerajaan. Menterinya cakap merapu-rapu.

“Mereka sebenarnya tidak sangka akan menang dan mampu jadi kerajaan, sudahlah pengalaman pun tidak ada… ada ke patut cakap orang kampong malas menoreh getah pada musim tengkujuh… dia tahu tidak musim tengkujuh tu apa…? Apa punya menteri… nak jadi pemimpin kena ada ilmu… jangan pakai cakap sahajaa… digelakkan orang. Kesian saya dengan Tun (Tun Dr Mahathir) kerana dikelilingi oleh menteri yang sebegini,” sindir beliau.

Justeru beliau menyarankan agar UMNO menggunakan segala peluru yang ada bagi mengukuhkan parti namun jangan sekali-kali terikut cara kerajaan baru yang terlalu suka merapu.

“Kita juga harus jadi suara dan lidah rakyat. kita bawa perkara yang boleh memikat hati rakyat dan rakyat akan nampak ini dia parti yang boleh membela nasib rakyat dan boleh diberi peluang semula. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, saya amat yakin UMNO akan mampu kembali menambat hati rakyat,” ulas beliau lagi.





No comments:

Post a Comment