Monday, December 31, 2018

Strategi bangkit semula! - Wawancara bersama Tok Mat Hasan



TANGGAL 18 Disember lalu seluruh negara dikejutkan apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO kepada timbalannya, DATUK SERI MOHAMAD HASAN selepas berlaku pelbagai kemelut politik melibatkan UMNO termasuk isu lompat parti oleh sekumpulan ahli Parlimen UMNO dan ugutan lebih banyak pemimpin UMNO bakal berbuat demikian jika tiada sebarang perubahan pucuk pimpinan parti dibuat.

Di atas bahu Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat terpikul satu bebanan sangat besar kerana beliau menggalas harapan kira-kira 3.6 juta ahli UMNO untuk melihat semula parti keramat bangsa Melayu itu bangkit dengan gagah semula.

Bagi mendapatkan pandangan dan apakah perancangan beliau dalam mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, wartawan Mingguan Malaysia telah menemu bual bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu di Ibu pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini untuk mengupas lebih lanjut perkembangan politik semasa.

MINGGUAN MALAYSIA: Datuk Seri kini diberikan amanah menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO, apa perasaan Datuk Seri ?
MOHAMAD: Ini satu tugas yang amat besar dalam keadaan UMNO terumbang ambing dan kehilangan kuasa selepas 61 tahun mentadbir negara.

Ini cabaran yang perlu saya tangani dan lalui bersama rakan-rakan untuk pastikan kita berkumpul semula dan mengatur strategi bagi meneruskan perjuangan. Ini kerana pilihan raya umum (PRU) bukan habis setakat PRU-14 sahaja tetapi kita ada PRU seterusnya.

Jadi jangan berputus asa. Kalah sekali PRU selepas 13 kali kita menang terus berputus asa sedangkan ada parti yang tunggu sampai 60 tahun dan ada yang tunggu lebih 20 tahun, akhirnya mereka berjaya. Kita kena kaji dan menelaah sebab kalah dan cari puncanya sebab orang tua kata: “sakit berpunca dan mati bersebab.”

Bagaimanapun ada pihak yang mendakwa UMNO bakal berkubur, adakah itu benar?
MOHAMAD: Tiada sebab orang kata UMNO berkubur. Itu hanya untuk sedapkan hati. UMNO tidak akan berku­bur bahkan UMNO terus mantap. Pernah dengar ada cawangan atau bahagian dibubarkan? Seperti yang saya tegaskan di peringkat cawangan dan bahagian semangat ahli UMNO berkobar-kobar, cuma yang saya takut akar umbi mati tetapi perkara itu tidak berlaku.

Bagaimanapun, terdapat satu atau dua dahan yang jatuh tetapi seperti kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Jadi jangan takut satu dua patah yang penting akar umbi subur. Jangan akar umbi dimakan anai-anai kerana pokok akan mati terus.

Bagaimanakah pendekatan Datuk Seri untuk menguatkan semula bahagian UMNO yang bermasalah dalam tempoh masa empat tahun?
MOHAMAD: Saya bukan bomoh atau pawang. Sebenarnya yang menjadi isu di peringkat bawah adalah kita perlu ada kepimpinan dan perkara tersebut akan membawa kepada kepimpinan dan organisasi yang mantap. Di peringkat bahagian ketua bahagian kena memainkan peranan. Sebab itu, dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi minggu lalu saya sebut mengenai pengagihan kuasa.

Hal pengurusan biar negeri diberi lebih kuasa mentadbir kerana mereka tahu ubat apa yang perlu dicari untuk mengubati sesuatu penyakit, saya tidak boleh tahu apa masalah contohnya di Johor hanya orang di sana tahu dan boleh mengubatinya. UMNO ada sebanyak 22,000 cawangan dan mempunyai kira-kira 3.6 juta ahli, katakanlah sejuta ahli ditolak selepas pemutihan dibuat, kita masih mempunyai 2.6 juta ahli. Kalau setiap cawangan memainkan peranan, insya-Allah kalau esok ada PRU-15, kita boleh menang.

Bagaimanakah UMNO sendiri untuk melahirkan pemimpin yang bermoral dan berprinsip?
MOHAMAD: Perjuangan UMNO sudah lama lebih 70 tahun. Dahulu sebelum merdeka tidak ada wakil rakyat atau ahli Parlimen tetapi UMNO mantap sebab semua orang faham erti perjuangan. Tetapi sekarang banyak orang yang jadi ahli UMNO tidak faham konsep perjuangan UMNO. Ada yang men­jadi ahli sebab suka Tok Mat, ada yang suka Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Zahid malah, ada yang hanya nampak kelas F.

Sebab itu, kena kembali semula bagi kesedaran kepada orang UMNO, apa itu UMNO. Tentang hala tuju UMNO sudah ada dalam perlembagaan parti, tak akan itu pun tidak faham dan yang cakap itu peringkat pimpinan. Itulah hala tuju UMNO iaitu menjaga maruah dan martabat bangsa Melayu, parti yang akan terus memperjuangkan Islam, memartabatkan bahasa Melayu serta memartabat maruah dan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu di samping menubuhkan kerajaan.

Ada berpendapat tindakan pemimpin UMNO keluar parti itu satu proses pembersihan UMNO?
MOHAMAD: Orang kata yang patah tumbuh berganti itu adalah hukum alam yang keluar akan ada pengganti. Kita jangan menangisi hasrat mereka kerana mereka ada hala tuju sendiri. Biarlah kita merelakan tetapi ini bukan bermakna kita suka tetapi kita jangan memutuskan silaturahim.

Mana tahu suatu hari nanti kita akan bertemu semula. Sebab itu, ketika krisis UMNO Sabah saya katakan kita kena beri ruang kepada mereka mungkin kita memerlukan rakan-rakan bumiputera dari Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Kerajaan Pusat. Jadi jangan maki hamun orang. Kita pun tidak tahu apa dalam pemikiran mereka mungkin terdesak dan ada masalah peribadi. Cuma satu sahaja nasihat saya kalau hendak tinggalkan UMNO sekali pun jangan pula maki UMNO dan kata UMNO tiada hala tuju dan sebagainya. Kita pun ada maruah.

Bagaimana BN boleh jadi pembangkang berwibawa?
MOHAMAD: Jadi pembangkang berwibawa mesti ada kepakaran dalam bidang kita. Sekarang bukan seperti zaman dahulu. Sekarang semua sudah berpengetahuan dan maklumat pun sudah di hujung jari.

Jadi kita sebagai sebuah parti yang sudah menjadi pembangkang perlu memiliki kewibawaan sendiri dan kalau bercakap serta berbahas mesti berfakta jangan pakai cakap sahaja.

Selain itu, kita juga perlu membawa suara rakyat dalam sidang Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN sebagai nilai tambah. Tujuan kita berpolitik untuk memperjuangkan hak dan isu rakyat supaya akhirnya yang mendapat manfaat ialah rakyat itu.

Dalam keadaan sebegini, BN perlu dilihat berwibawa untuk membolehkan orang bergantung harap. Banyak isu yang boleh dibawa seperti Felda, Felcra, flip flop kerajaan sekarang dan mereka juga langsung tiada hala tuju kecuali yang saya nampak kereta nasional ketiga dan jambatan bengkok.

Selain itu, janji PRU pun mereka tidak tepati sebaliknya perkara yang tidak dijanjikan pula menjadi keutamaan, menteri pun selalu cakap merapu. Kita banyak peluru tetapi jangan kita pun turut merapu.

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
</script>
Sebagai pemimpin utama BN, apakah perancangan menguatkan semula BN?
MOHAMAD: BN masih ada MCA dan MIC manakala MyPPP mereka sekarang ada masalah biarkan mereka selesaikan terlebih dahulu.

Kita akan melihat semula BN. Presiden UMNO pernah berkata, kita akan menjenamakan semula BN. Kita akan meneruskan agenda tersebut untuk melihat dan mengkaji semula sama ada hendak terus menggunakan nama BN atau nama lain.

Selain itu, modus operandi parti sama ada hendak mengekalkan piagam sama atau tidak juga akan dilihat semula.

Sebagai contoh, kalau boleh kita hendak sebanyak mungkin parti bergabung di bawah BN atau nama lain sebab banyak parti kecil berminat untuk masuk. Kita bergabung sebagai satu blok pembangkang.

Bagaimana pula BN di Sabah dan Sarawak, perlukah penjenamaan nama dilakukan juga?
MOHAMAD: Saya akan ke Sabah dan Sarawak untuk berjumpa bekas rakan-rakan BN, mereka keluar tetapi tidak masuk dalam kerajaan tetapi masih di luar. Mereka keluar kerana hendak mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan. Ini kerana keadaan di Sabah dan Sarawak berbeza dari Semenanjung.

Jadi saya akan mengadakan hubungan dengan mereka, apa sahaja boleh berlaku dalam politik yang penting kita jangan tutup pintu.

Pas menggelar UMNO sebagai kapal bocor sejauh mana kenyataan negatif seperti itu boleh menjejaskan kerjasama kedua-dua parti?
MOHAMAD: Orang sudah lama bercerai macam-macam cerita keluar tetapi itulah persefahaman yang kita cari. Kita akan senaraikan perbezaan kita selama ini dan daripada senarai itu kita cari persamaan. Tiada simpulan yang tidak boleh dileraikan. UMNO dan Pas sudah lebih 60 tahun bercerai dan bergaduh sampai dikafirkan kita.

Kita jangan tersentuh sangat kadang-kadang ada pemimpin bercakap kerana pendengar mereka macam itu, tetapi sebenarnya hasrat untuk menjalinkan kerjasama sudah ada dan mantap sehingga kedua-dua parti hendak menubuhkan jawatankuasa peringkat pusat kemudian negeri dan bahagian. Bahkan, kalau ada program-program mereka sudah terlibat secara bersama.

MOHAMAD: Sebab itu, saya tegaskan sakit berpunca dan mati bersebab kita kena cari faktor menolak dan menarik. Faktor menolak berlaku apabila kita sendiri yang tidak buat kerja, parti-parti komponen tidak buat kerja malahan jentera pun mereka tiada tetapi apabila tiba PRU masing-masing mengaku sebagai kerusi tradisi.

Faktor menolak pula seperti dibuat DAP yang sentiasa mengapi-apikan sentimen perkauman, membenci kerajaan dan orang Melayu. Mereka juga menyebut mengundi kerajaan BN bermakna mengundi orang Melayu.

Sebab itu, kita tidak boleh kata telah hilang kepercayaan orang Cina, kalau kita boleh menghantar mesej tawaran baharu oleh UMNO kepada rakyat Malaysia dan menjadi parti yang membawa suara rakyat termasuk bukan Melayu saya percaya rakyat akan menyokong semula.

Malahan, sekarang pun ramai yang sudah kecewa dengan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) jadi ini masa untuk BN dan ahli Parlimen kita menggunakan isu tersebut untuk membawa suara rakyat.

Utusan Malaysia juga perlu membawa suara rakyat jangan jadi suara UMNO, saya tidak minta Utusan Malaysia menjadi suara UMNO tetapi menjadi suara rakyat baru rakyat suka, sentimen dekat dengan rakyat itu perlu ada, kalau bawa suara UMNO untuk mempromosikan saya buat apa?

Apa yang saya hendak adalah pungut suara rakyat di Felda dan Felcra yang sudah lima bulan tidak menerima elaun dan bagaimana susahnya ibu tunggal.

Ini yang Utusan Malaysia perlu buat. Apabila perkara ini yang Utusan Malaysia buat orang akan dekat dan membeli Utusan Malaysia. Kalau berita Mohamad Hassan sahaja siapa yang hendak beli?

Ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh lebih perlahan dengan pelaburan masuk mungkin berkurangan, apakah yang dapat kita jangkakan pada tahun hadapan?
MOHAMAD: Bukan tumbuh perlahan tetapi menguncup dengan banyak daripada hampir enam peratus tahun ini saya tidak jangka boleh rekod lima peratus pun biar pun, pertumbuhan suku pertama dan kedua kita baik tetapi suku ketiga dan keempat saya tidak nampak apa-apa pun. Malahan, saya tidak nampak sebarang petunjuk ekonomi untuk 2019 bahkan yang saya tahu banyak pelabur sudah mula keluar, pengaliran wang keluar semakin meningkat sebab itu ringgit sangat lemah daripada RM3.89 Mei lalu jatuh hampir RM4.20 sekarang.

Harga barang sekarang masih boleh bertahan lagi biar pun sudah ada yang naik. Ini kerana tempoh kelepasan cukai selama tiga bulan baru-baru ini menyebabkan banyak pengilang dan industri membeli bahan mentah untuk membuat stok tetapi masuk tahun baharu saya rasa harga barang akan naik sebab stok bahan mentah sudah habis.

Terdapat juga industri yang bakal gulung tikar macam industri perumahan yang mula menguncup dan harga rumah sudah mula turun, ini bukan kerajaan PH turunkan tetapi sebab tidak laku. Sebab itu mereka buat skim FundMyHome untuk selamatkan pemaju.

Apakah jangkaan alasan yang PH apabila berlaku situasi seperti ini?
MOHAMAD: Alasannya, sebab BN dahulu banyak hutang dan kerajaan BN tinggalkan pelbagai masalah padahal dahulu kita tinggalkan rizab ( rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia )sebanyak AS$110 bilion dan nilai ringgit RM3.89 malah, defisit juga tidak besar tetapi sekarang sudah besar. Saya sendiri tidak tahu mengapa sedangkan mereka sudah batalkan projek-projek mega jadi ke mana mereka gunakan duit itu?

Defisit kita masa 2008 besar sebab ekonomi dunia merudum, krisis pinjaman sub prima di Amerika Syarikat (AS) sudah menjatuhkan ekonomi mereka, banyak syarikat gulung tikar tetapi kita tidak terkena tempias sebab melaksanakan pendekatan ekonomi domestik, kerajaan waktu itu menggunakan duit sebab kita tidak dapat bergantung dengan pelaburan luar jadi kerajaan melabur dalam projek-projek mega dan ia memantapkan ekonomi kita balik.

Kita bukan boros tetapi hendak memastikan rakyat Malaysia tidak terjejas. Jadi saya jangkakan naratif akan sama seperti kerajaan BN tinggalkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain.

Apakah nasihat untuk kerajaan dalam kesuraman ekonomi sekarang?
MOHAMAD: Buat kerja, pastikan kita lakukan terbaik tetapi apa yang saya takut dalam pembentangan Belanjawan 2019, Guan Eng terlalu bergantung kepada harga minyak pada paras AS$72 setong tetapi hari ini harga minyak ialah AS$54 setong dan beliau juga telah menggunakan keseluruhan wang Petronas sebanyak RM54 bilion. Mereka membuat belanjawan tanpa mengambil kira faktor luaran. Ini sangat berbahaya.

Rakyat sudah merasai kesan pertukaran kerajaan, jadi apakah mesej untuk menarik semula sokongan rakyat?
MOHAMAD: Kita mesti membawa mesej baik dan isyarat positif supaya mesej dan isyarat yang baik dapat difahami rakyat. Kita akan terus menjadi pembangkang berwibawa. Jangan buat pening-pening kepala dan jangan cakap bukan-bukan. Bak kata orang tua, harimau lima enam ekor biar dalam perut tapi kita luahkan kambing sahaja jangan kata kau tak undi aku dan lain-lain. Jangan ketepikan orang. Mungkin mereka marah kita dahulu tetapi sekarang mereka lebih marahkan PH.

Kita perlu berikan isyarat dan mesej yang UMNO dan BN akan berubah. Parti akan terus menjadi juara dan akan terus membawa isu rakyat dan akan berfungsi untuk menyemak dan mengimbangi polisi kerajaan dan akan terus menyuarakan suara-suara dan isu rakyat jadi rakyat akan terpikat dengan kita. Kita jangan tonjolkan sangat diri seperti undilah aku, aku kacak dan sebagainya.

Wakil rakyat juga kena kerja kalau tidak mahu menjadi wakil rakyat jangan bertanding ini bukan zaman dahulu. Kita sekarang ialah hamba rakyat dan kena kerja. Jangan marah, ada orang datang dan telefon kita, orang bukan hendakkan peruntukan kita dan jangan anggap orang datang hanya hendak duit. Orang kadang-kadang datang sebab hendak bermanja dan mengadu masalah.

Kita perlu membawa isu rakyat seperti tebing sungai runtuh dan jalan runtuh, ambil gambar dan hantar kepada pihak berkuasa tempatan. Selepas ini orang akan nampak nasib mereka terbela dan ada orang yang ambil tahu. Ini akan memberi perasaan gembira kepada orang ramai. - Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Loading...