Sarawak pengguna data internet tertinggi di Malaysia - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, December 5, 2018

Sarawak pengguna data internet tertinggi di Malaysia

KUCHING: Setiap pengguna di Sarawak menggunakan lebih daripada 12 gigabit (gb) data internet sebulan, yang menunjukkan purata tertinggi di Malaysia, kata Ketua Pegawai Operasi Maxis Berhad, Gokhan Ogut.

Menurut beliau, ia sekali gus menjadikan Sarawak sebagai salah satu negeri yang tertinggi penggunaan data internet di negara ini.

“Apabila kami melihat bagaimana mereka menggunakan data mudah alih, lebih 60 peratus adalah daripada penggunaan video dan diikuti media sosial,” katanya pada sidang media selepas upacara menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Maxis dan Sacofa di sini, hari ini.

LoU tersebut yang ditandatangani oleh Gokhan dan Pengarah Urusan Sacofa, Mohamed Zaid Zaini turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Gokhan menambah majoriti pengguna data internet pada kadar yang tinggi di Sarawak adalah golongan berumur di bawah 25 tahun atau 50 peratus di bawah umur 40 tahun.

“Video merupakan salah satu cara penggunaan data internet yang tinggi oleh orang muda di seluruh dunia sekarang, untuk mereka melihat hiburan, berita dan sebagainya,” jelasnya.

Justeru, katanya ia secara tidak langsung menjadikan Sarawak sebagai pasaran yang sangat baik untuk pembekal perkhidmatan seperti Maxis.

“Ia berpotensi hebat, bukan hanya untuk penyedia perkhidmatan tetapi juga memberi manfaat kepada negeri ini, baik untuk ekonomi dan ekonomi digital,” katanya.

LoU antara Maxis dan Sacofa adalah untuk Sacofa menawarkan perkhidmatan rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) kepada Maxis.

Di bawah LoU tersebut juga, Maxis akan mempunyai akses penuh kepada perkhidmatan jaringan HSBB Sacofa di Sarawak yang akan membolehkan Maxis menawarkan pelan fiber yang sedia ada kepada lebih banyak rumah dan perniagaan.


No comments:

Post a Comment