Peguam Negara masih keliru sebab kematian Muhammad Adib sedangkan bedah siasat jelas menunjukkan dibunuh #Justice4Adib - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, December 27, 2018

Peguam Negara masih keliru sebab kematian Muhammad Adib sedangkan bedah siasat jelas menunjukkan dibunuh #Justice4Adib

Kenyataan Akhbar Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Keputusan Peguam Negara untuk mengadakan inquest bagi menyiasat sebab kematian Mohd Adib ---------------------------------------- Menteri Dalam Negeri YB Tan Sri Mukhyiddin Yassin hari ini dilaporkan sebagai berkata Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang terbunuh semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 Subang Jaya. 2. Inkues adalah suatu prosedur di bawah Bahagian XXXII Kanun Acara Jenayah yang mana majistret boleh diarahkan oleh Peguam Negara menurut seksyen 339(1) Kanun yang sama untuk membuat siasatan bagi menentukan sebab sesuatu kematian. 3. Menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan Peguam Negara adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa, menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera. 4. Walaupun keputusan mengadakan inkues ini memang berada di dalam kuasa Peguam Negara (sebagai Pendakwaraya) seperti termaktub di dalam seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah tetapi keputusan Peguam Negara ini menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia seolah-olah memberi gambaran Peguam Negara masih keliru sebab kematian Mohd Adib sedangkan sebab kematiannya telah jelas berdasarkan laporan perubatan dan bedah siasat (post mortem) yang dilakukan ke atas jenazah Mohd Adib. Malah Polis Diraja Malaysia juga telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh. 5. Proses inkues mengambil masa di mana majistret secara inquisitorial mempunyai kuasa yang luas meneliti sebab kematian Mohd Adib termasuk memanggil semua pihak yang terlibat yang dijangkakan menjangkau puluhan orang. Oleh kerana proses ini mungkin mengambil masa ia menimbulkan kebimbangan terhadap empat orang yang sedang disiasat oleh pihak PDRM. 6.Walaupun PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seskyen 302 (membunuh) Kanun Keseksaan setelah kematian Mohd Adib tiada tindakan segera diambil oleh PDRM atau Peguam Negara untuk menangkap atau menuduh dibawah seksyen 302 tersebut. 7. Apa yang lebih menggusarkan ialah keempat-empat yang disiasat tersebut telah dilepaskan atas jaminan polis (jamin mulut) bukan jaminan daripada mahkamah yang mana perlu disediakan penjamin dan sejumlah wang ditetapkan mahkamah. Oleh itu orang yang disiasat bebas ke mana sahaja yang mereka mahu tanpa sekatan. 8. Sekiranya pihak PDRM atau Peguam Negara berpandangan pihak yang sedang disiasat itu tiada kaitan dengan kesalahan yang disiasat kenapa pula mereka dilepaskan dengan jaminan polis, seharusnya mereka dilepaskan sepenuhnya. 9. PPMM berpandangan bahawa mengadakan inkues bagi kes ini adalah tidak perlu dan hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa sahaja dan menyeru PDRM segera menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit. Bukan semua kes yang disiasat dibawah seskyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inquest terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan. 10.Oleh kerana PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah amat wajar PDRM menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat tersebut bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan melainkan PDRM berpendapat mereka tidak melakukan kesalahan tersebut dan memberikan justifikasi agar ia menjadi telus. Meskipun begitu PDRM dan Peguam Negara perlu menjelaskan dimana keberadaan orang yang disiasat dan status siasatan tersebut. 11. Oleh yang demikian PPMM mendesak Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci kenapa tiada pendakwaan dilakukan dibawah seksyen 302 setakat ini dan kenapa pula inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan. Masyarakat perlu tahu samada siasatan masih belum lengkap atau terdapat elemen lain yang boleh menjadikan pendakwaan gagal. 12. PPMM juga berasa sangat pelik apabila ada pihak yang meminta perlindungan dengan SUHAKAM untuk masuk campur di dalam siasatan polis dan meminta siasatan bebas dilakukan. Adakah ini bermakna pihak polis sudah tidak menjalankan siasatan dengan bebas sehingga perlu diadakan siasatan lain? Hal ini selari dengan kenyataan seorang menteri yang menyalahkan pihak polis dalam insiden ini suatu ketika dahulu. 13. Selain daripada pelaksanaan undang-undang jenayah ini, keluarga Mohd Adib juga boleh mencari alternatif lain mengambil tindakan terhadap pelbagai pihak yang berkaitan melalui undang-undang tort di mahkamah sivil bagi mendapatkan keadilan kepada mereka. Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Bertarikh pada 27 Disember 2018 Rujukan: Inkues akan tentukan punca kematian Adib - Muhyiddin https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/12/513207/inkues-akan-tentukan-punca-kematian-adib-muhyiddin

No comments:

Post a Comment