Menjual kekayaan negara? - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, December 11, 2018

Menjual kekayaan negara?

SEBAHAGIAN rakyat tahu negara akan mengalami masalah kewangan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pemansuhan GST. Masalah lebih besar bila pemansuhan tersebut turut memberi “tax holiday” selama tiga bulan. Ini mengakibatkan negara kehilangan sekitar RM14 bilion ringgit.

GST dibenci oleh perniagaan kerana ia mengurangkan keuntungan mereka dan diperguna oleh ahli politik untuk mendapat kuasa. Inilah punca “kematian GST”. Di banyak negara yang parti politik menang dengan janji menghapuskan GST, mereka akhirnya melaksanakan semula setelah beberapa tahun memerintah.

Ketika seronok mendengar pemansuhan GST, negara mula berhadapan dengan keadaan kewangan yang tidak menentu. Kutipan cukai jualan masih tidak seperti yang diharapkan. Harga minyak yang tidak menentu telah menyebabkan keadaan kewangan negara makin tidak stabil.

Kerajaan membentangkan Bajet 2019 berdasarkan anggaran harga minyak mentah dunia sekitar USD70 setong. Walaupun ia merupakan anggaran kebanyakan penganalisis pasaran, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab harus mengambil kira ketidaktentuan pasaran minyak mentah dunia.

Belum masuk 2019 harga minyak sudah jatuh ke sekitar USD51 setong. Malaysia hanya mampu berharap Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan mengurangkan pengeluaran minyak bagi meningkatkan kembali harga petrol ke sekitar USD70 setong.

Kekurangan sumber kewangan akan memberi masalah kepada pembangunan dan pengurusan negara. Kerajaan mula bercakap soal menjual dan mengapungkan aset bagi meraih tunai berbilion ringgit. Kerajaan akan menjual bon samurai bagi meraih sekitar RM9 bilion ringgit. Kerajaan memberi isyarat bahawa akan menjual aset-aset syarikat berkaitan kerajaan bagi meraih tunai yang banyak.

Antaranya ialah cadangan penubuhan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang (REIT) ini sebagai penggadaian dan penjualan aset kerajaan. Bekas Menteri Kewangan, Datuk Sri Mohd Najib Razak menempelak cadangan sebagai penjualan dan penggadaian aset negara.

Pada masa ini syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mempunyai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia iaitu perlu membayar sewa RM400 juta setahun. Sebahagian besar saham MAHB adalah milik Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Justeru selain mengutip pajakan, kerajaan turut membuat untung melalui saham Khazanah Nasional dan rakyat mendapat faedah melalui dividen KWSP.

Menurut Mohd Najib, melalui REIT nanti kerajaan akan menjual 30% saham kepada pelabur dan memegang baki 70%. Ini akan membolehkan kerajaan mendapat sekitar RM4 bilion. Kebimbangan Mohd Najib ialah pada masa hadapan jika kerajaan perlu wang lagi maka boleh jual lagi sebahagian REIT yang dipegang. Akhirnya suatu hari nanti semua lapangan terbang dalam negara milik orang lain.

REIT juga akan meningkat kos pengurusan lapangan terbang kerana syarikat perlu membayar nilai dividen yang tinggi kepada pelabur, dianggarkan sekitar 6.25%. Ini akan mendorong pihak pengurusan lapangan terbang menaikkan cukai lapangan terbang, kos sewaan, dan perkhidmatan lain.

Kerajaan juga dilaporkan akan melaksanakan REIT ke atas fasiliti lain seperti hospital dan keretapi. Dalam keadaan biasa REIT adalah satu cara cepat mendapat aliran tunai bagi melabur semula dalam pembangunan dan pengurusan sesebuah aset untuk keuntungan optimum.

Namun melaksanakan REIT pada aset kerajaan menimbulkan pelbagai persoalan lain kerana wang yang diperolehi tidak dilabur semula bagi mengoptimumkan hasil aset. Sebaliknya RM4 bilion masuk ke kantung kerajaan bagi tujuan lain. Justeru pengguna akan dikenakan kos lebih tinggi kerana syarikat perlu membayar dividen yang tinggi kepada pelabur.

Selain cadangan REIT dan penjualan bon, kerajaan juga telah menjual aset Khazanah Nasional. Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengumumkan penjualan 16 peratus kepentingan atau 1.40 bilion saham dalam IHH Healthcare Bhd (IHH) kepada Mitsui & Co Ltd. Ini membabit pertimbangan tunai RM8.42 bilion atau RM6 sesaham. Penjualan ini bukan sahaja dilakukan cara rundingan terus tanpa tender malah akan mengurangkan pendapatan Khazanah Nasional dalam jangka masa panjang.

Dari tahun 2008-2017 Khazanah Nasional telah mencatatkan keuntungan hampir RM100 bilion. Asetnya telah berkembang dan meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017, iaitu keuntungan RM82 bilion.

Kekhuatiran kita ialah tindakan-tindakan mendapat tunai singkat ini akan menjerumus negara kepada krisis pada masa depan. Jika arah aliran (trend) penjualan saham-saham premium Khazanah dan GLC lain berterusan tidak mustahil pendapatan kerajaan pada masa hadapan akan menyusut dengan teruk.



Oleh: Ab Jalil Backer

No comments:

Post a Comment