Jangan Lupa Jasa Parti Dan Akar Umbi Yang Memberi Tempat - Randau Sarawak

Breaking

Friday, December 14, 2018

Jangan Lupa Jasa Parti Dan Akar Umbi Yang Memberi Tempat

Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak kecewa melihat rakan-rakan seperjuangan lamanya patah semangat dan mula meninggalkan UMNO.

Menurut bekas perdana menteri itu dalam hantaran di Facebooknya, terdapat di kalangan mereka dahulunya beliau dan akar umbi UMNO begitu banyak membantu terutamanya dari segi karier politik sehingga menjadi pemimpin.

“Kerana kita percaya dan yakin walau apa pun berlaku mereka akan terus menjadi nakhoda kapal dan memimpin akar umbi UMNO.

“Sudah tentu saya kecewa. Tetapi apakah daya kita kini jika perjuangan UMNO tidak lagi dalam minda dan hati mereka.

“Adakah apa yang dikatakan benar bahawa yang dikejar hanya jawatan dan peruntukan?, soalnya juga.

Jika begitu keadaannya tambah Najib, UMNO kini melalui proses pemutihan semula jadi dan Insya-Allah akan bangkit lebih kuat semula.

“Kita tidak ada apa-apa lagi di UMNO hari ini. Yang ada hanya kain di tubuh dan hati membara.

“Kita berbekalkan semangat perjuangan, persaudaraan dan yang paling penting, keikhlasan untuk rakyat dan kesayangan mereka terhadap kita.

“Dan memang pun itu asas penubuhan, perjuangan dan kekuatan UMNO,” ujarnya.

Jelas Najib lagi, adalah sesuatu yang tidak adil jika kepimpinan UMNO hari ini dipersalahkan atas segalanya kerana UMNO kini tidak lagi mempraktikkan amalan diktator.

“UMNO tidak mempraktikkan amalan diktator dan menggalakkan akar umbi dan ahli-ahli bersuara memberi pandangan membangunkan semula UMNO.

“Ya, ini satu masa yang mencabar kerana kita di bangku pembangkang. Namun, tidak ada juga sekatan suara terhadap sesiapa untuk memberi pandangan terhadap dasar kerajaan hari ini.

“Kita masih diberi amanah oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka. Berikanlah keyakinan semula kepada rakyat bahawa kita mampu dan berkebolehan, kita benar-benar bangkit untuk rakyat,” katanya.

Justeru, Najib turut mengingatkan kepada semua ahli parti supaya jangan lupa perjuangan UMNO.

“UMNO hidup bukan kerana seorang dua. UMNO adalah satu perjalanan dan perjuangan hidup bersama.

“UMNO adalah sebuah parti yang pada awalnya ditubuhkan oleh rakyat dan kerana rakyat selama berdekad lamanya, dan tetap akan berjuang untuk rakyat.

“Saya menyeru kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan hala tuju politik sendiri,” tegasnya.

Najib juga menyeru pendukung parti agar kukuhkan UMNO yang telah menjadi payung selama ini dan bangkit bersama UMNO yang disayangi ini.

“Hanya kerana satu sebab tuan-tuan dan puan-puan – rakyat di hati,” ujarnya.



Facebook Najib Razak

http://pakdin.my/tag/najib-razak

No comments:

Post a Comment