Inflasi Oktober meningkat 0.6 peratus - Randau Sarawak

Breaking

Friday, December 14, 2018

Inflasi Oktober meningkat 0.6 peratus



Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, yang mengukur inflasi keseluruhan, meningkat 0.6 peratus kepada 120.7 pada Oktober 2018 berbanding 120.0 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan indeks keseluruhan ini disebabkan peningkatan harga bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (+1.2 peratus); restoran dan hotel (+1.2 peratus); pendidikan (+1.1 peratus); serta pengangkutan (+0.8 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding September 2018. IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, empat negeri melepasi paras IHP nasional 0.6 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2018 berbanding Oktober 2017.

Negeri itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.3 peratus), Negeri Sembilan (+1.1 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+0.8 peratus) dan Pulau Pinang (+0.7 peratus), katanya.

Sementara itu Johor menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional.

Mohd Uzir berkata kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri.

“Tiga negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+1.2 peratus) bagi Oktober 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan kenaikan 4.5 peratus, diikuti oleh Negeri Sembilan (+1.6 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.4 peratus) manakala Pulau Pinang mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional bagi kumpulan utama terbabit,” katanya.

Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia boleh di muat turun disini:
https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://www.dosm.gov.my/v1/index.php%3Fr%3Dcolumn/pdfPrev%26id%3Dd21aWXZOdXhIOGZjU0dPSlc4eDlvQT09&ved=2ahUKEwj0yaS0_Z3fAhWLMI8KHdg6CC0QFjAAegQIBRAB&usg=AOvVaw1a6z9ivwzqtuaiaRR8qcpc

No comments:

Post a Comment