Saturday, December 22, 2018

Dr Mahathir silap sejak September 1998






Pandangan Dr P. Ramasamy terhadap tindakan Syed Saddiq berkaitan gesaan agar P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan adalah dirujuk.

Beliau berpandangan bahawa gesaan tersebut seumpama menghina kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam melantik anggota Kabinetnya pasca PRU14 yang lalu.

Sememangnya diakui selepas 2 September 1998, Dr Mahathir telah beberapa kali tersilap dalam menamakan pemimpin politik Malaysia.

Ketika beliau terkhilaf dalam mempercayai fitnah yang direkayasa oleh musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga melakukan pemecatan terhadap beliau adalah contoh nyata betapa pertimbangan Dr Mahathir dalam membuat keputusan terutamanya dalam memilih pemimpin wajar dipertikaikan.

Begitu juga beliau mengakui secara jelas bahawa pemilihan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti beliau juga merupakan satu kesilapan.

Beliau bertindak keluar dari Umno sebagai bantahan terhadap kepimpinan Abdullah ketika itu.

Apatah lagi ketika Datuk Seri Najib Razak yang dipilih menggantikan Abdullah menerusi campur tangan Dr Mahathir sememangnya satu kesilapan terbesar beliau. Negara merana sehingga hari ini akibat "kesilapan" Dr Mahathir memilih Najib.






Apabila Ramasamy cuba mempertahankan Waytha dengan mendakwa pelantikan itu tepat kerana Waytha telah banyak berjasa kepada kaum India adalah suatu yang menggelikan hati.

Tidakkah beliau mengetahui bahawa jawatan menteri perpaduan memerlukan seorang yang berjasa kepada semua kaum di Malaysia, bukan hanya berjasa kepada satu kaum sahaja.

Malaysia juga tidak memerlukan dan berasa malu terhadap tindakan beliau yang menyebarkan fitnah terhadap Malaysia di luar negara.

Kita yakin terdapat individu dari bangsa India yang jauh lebih layak daripada beliau, yang berjasa kepada negara dan yang lebih penting, mengutamakan perpaduan rakyat Malaysia.

Kenyataan Ramasamy ini hanya menambahkan kesombongan Dr Mahathir yang tidak diperlukan oleh negara ini.

Kita mahukan pemimpin yang benar-benar mendengar suara rakyat dan prihatin terhadap masa depan negara bukan mempertahankan keputusan demi egoisme seorang ketua.

Oleh: Amidi Abd Manan
Timbalan pengerusi Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia.





No comments:

Post a Comment

Loading...