Wednesday, December 12, 2018

Anjing selamatkan keluarga pemilik daripada serangan ular sawa


SRI AMAN: Seekor anjing peliharaan mengorbankan diri bagi menyelamatkan keluarga pemiliknya daripada kemungkinan serangan ular sawa di sebuah rumah di Jalan Kejatau, di sini petang semalam.

Kejadian disedari seorang ahli keluarga berkenaan apabila anjing peliharaan mereka itu tidak memberi respons apabila dipanggil.
Curiga dengan keadaan itu, mereka memeriksa keadaan sekitar rumah dan menemui anjing berkenaan sedang dibelit seekor ular sawa dewasa sepanjang enam meter.

“Melihatkan keadaan itu, kami memukul reptilia itu supaya ia melepaskan anjing itu. Ular sawa itu kemudian melepaskan belitan sebelum masuk ke lubang berhampiran,” kata anggota keluarga itu yang enggan namanya disiarkan.

Bimbang kerana ular sawa itu mungkin kembali ke rumah mereka, keluarga berkenaan segera menghubungi pihak bomba pada jam 2.42 petang memohon bantuan.

Bertindak atas maklumat itu sebuah jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bergegas ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia itu.

Difahamkan, operasi itu selesai dalam tempoh sejam, dengan reptilia itu berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas.
“Kami dimaklumkan ular berkenaan sepanjang 20 kaki (enam meter), dengan ukur lilit 16 sentimeter, selain agak agresif ketika ditangkap.

“Sedih melihatkan keadaan anjing kami yang tidak lagi bernyawa, memang kami sekeluarga terhutang nyawa padanya. Jika tidak kerana anjing ini, ular itu mungkin boleh masuk ke rumah dan menyerang kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Loading...