CEP memang tak ikut perlembagaan, kata Najib - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, August 21, 2018

CEP memang tak ikut perlembagaan, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak berharap kuasa akan dikembalikan kepada kabinet berikutan tamatnya mandat 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Bekas perdana menteri itu menyambut baik pengumumanPengerusi CEP Tun Daim Zainuddin semalam bahawa tugas majlis itu sudah tamat dan akan menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara hari ini, Najib berkata dari awal pembentukan CEP tidak selari dengan perlembagaan.

"Anggota CEP tidak diundi, dan mereka tidak mengangkat sumpah dari segi mempunyai akses terhadap rahsia kerajaan dan sebagainya. Ia adalah perkara yang mesti buat seorang menteri kabinet.

"(Kini) Mereka kembali kepada sistem kerajaan seperti yang digariskan perlembagaan. Itulah cara sepatutnya untuk mentadbir negara (dengan) berdasarkan perlembagaan," katanya seperti dipetik.

Dalam sidang media CEP semalam, Daim berkata majlis telah bertemu dengan lebih 350 individu mewakili 200 pertubuhan, termasuk agensi penguatkuasa, sektor perbankan dan dewan perniagaan.

Untuk rekod, pihak dalam kerajaan sebelum ini menegaskan peranan CEP hanyalah untuk menasihati kerajaan dalam soal tadbir urus dan kewangan dan tidak membuat keputusan.

Ditubuhkan pada 12 Mei lalu - dua hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh dan sebelum pembentukan kabinet - CEP dianggotai lima anggota utama.

Selain Daim sendiri, mereka adalah bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Tan Sri Hassan Marican, ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.




No comments:

Post a Comment