'Bulan madu Mat Sabu dah tamat' - Hishamuddin - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, August 8, 2018

'Bulan madu Mat Sabu dah tamat' - Hishamuddin

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi 'peringatan' kepada penggantinya, Mohamad Sabu bahawa tempoh bulan madu untuk Kementerian Pertahanan sudah tamat dan kini masanya untuk bekerja.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kini tiba masanya untuk beliau mengkritik dengan memberi pandangan terhadap tindakan Kementerian Pertahanan yang diterajui Mohamad Sabu.

"Sebelum ini saya nak tengok dan lihat, saya tak mahu buat banyak sangat komen supaya Menteri Pertahanan yang baharu diberikan ruang untuk belajar dan melihat sendiri apa yang ada di Mindef dan apa juga pendirian yang beliau (Mohamad) boleh lakukan selepas ini.

"Tetapi 'honeymoon period' dah tamat sekarang dan kini saya nak pandangan saya didengari pula," katanya ketika ditemui medi di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Hishammuddin, Kementerian Pertahanan memulakan peranan mereka dengan menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pejabat sementara di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta.

"Masih banyak lagi isu lain antaranya aset Kementerian Pertahanan, kebajikan tentera dan keluarga serta veteran tentera.

"Selepas 100 hari pentadbiran PH kita akan lihat bagaimana Kementerian Pertahanan menjalankan tugas terhadap kawalan keselamatan negara," ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan tindakan kerajaan membatalkan KSCIP, beliau menganggap keputusan itu merugikan Malaysia.

"KSCIP dibiayai penuh oleh Arab Saudi, ia belum dilancarkan lagi dan sebenarnya masih peringkat awal jadi kalau keputusan ini dibuat kali ini ia tak akan membazir, tak menjejaskan.

"Tetapi saya percaya Arab Saudi ada pilihan lain di negara lain, jadi kalau kita pilih tak nak kerjasama dengan mereka, mereka boleh buat keputusan di negara lain tapi kita yang rugi," katanya.

Baru-baru ini, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, bersamaan 20 padang bola sepak.

.....................
Berita berkaitan:

'Najib: Arab Saudi akan terkilan Malaysia henti operasi Pusat Raja Salman'

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Arab Saudi akan terkilan dengan Malaysia susulan tindakan kerajaan baharu Pakatan Harapan (HARAPAN) menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

Menurut Najib, KSCIP diilhamkan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinannya (Najib) ketika itu menyambut baik cadangan tersebut yang dianggap baik untuk kedua-dua negara.

"Mereka (Arab Saudi) memilih Malaysia berbanding dengan banyak negara lain, jadi kita menolak bantuan daripada kerajaan Saudi yang merupakan negara yang amat baik hubungan dengan Malaysia. Mereka akan terkilan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Semalam, Kementerian Pertahanan menerusi jawapan bertulis kepada soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementaranya di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta.

Kementerian itu berkata fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

 

No comments:

Post a Comment