Ambil alih SPLASH: Adakah Rakyat Selangor pasrah dengan kenaikan tarif air? - Najib Razak - Randau Sarawak

Breaking

Saturday, August 4, 2018

Ambil alih SPLASH: Adakah Rakyat Selangor pasrah dengan kenaikan tarif air? - Najib Razak

👏 👏 👏

Petang Rabu semasa saya di Sungai Kandis, saya telah membangkitkan ada kemungkinan kerajaan Selangor akan membeli syarikat air swasta SPLASH dengan harga RM2.7 bilion di mana seorang tokoh perniagaan yang rapat dengan PKR ialah antara pemilik saham terbesar syarikat itu.

Harga RM2.7 bilion ini adalah lebih dari 10 kali lebih mahal dari harga RM250 juta yang ditawarkan ketika pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Isu harga yang didakwa terlalu rendah oleh pemimpin-pemimpin PKR ini juga merupakan antara sebab Tan Sri Khalid Ibrahim digulingkan di dalam kemelut Langkah Kajang.

Saya juga memetik amaran dari Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang juga merupakan Ahli Parlimen PH dari Selangor bahawa pembelian ini akan menaikkan tarif air Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta memaksa skim pemberian air percuma akan dikaji semula.

Sehari kemudian, Menteri Hal Ehwal Eknomi Azmin Ali menafikan dakwaan saya. Beliau berkata harga bukan RM2.7 bilion kerana pembelian belum dimuktamadkan.

Tidak sampai 24 jam dari penafian Azmin itu, Menteri Besar Selangor mengumumkan secara rasmi bahawa harga pembelian SPLASH telah dimuktamadkan pada harga RM2.55 bilion.

Di sini, saya memohon maaf kepada Azmin kerana saya tersalah namun RM2.55 bilion masih tidak jauh dari angka RM2.7 bilion yang telah saya nyatakan malah masih 10 kali lebih tinggi daripada RM250 juta yang Tan Sri Khalid tawarkan sebelum ini.

Tetapi harga pembelian ini juga tidak tepat kerana selain membayar RM2.55 bilion tunai, kerajaan Selangor masih perlu menanggung hutang SPLASH yang dianggarkan pada RM1.6 billion. Ini meningkatkan harga pembelian sebenar kepada RM4.1 bilion.

Selain menyebabkan tarif air akan naik, negeri Selangor juga perlu menanggung lebih banyak hutang kerana dipercayai RM1.9 bilion dari dana RM2.55 bilion yang dibayar akan dipinjam dari kerajaan Persekutuan. Yang lebihnya akan dibayar dari dana kerajaan Selangor.

Menanggung liabiliti SPLASH serta menambat hutang dengan kerajaan Persekutuan merupakan beban tambahan kepada rakyat yang terpaksa membayar tarif air yang lebih tinggi pada masa pemilik-pemilik saham syarikat swasta SPLASH yang ada hubungan rapat dengan PKR diperkayakan dengan keuntungan yang berlebihan.

Adakah rakyat Selangor hanya mampu pasrah dengan hakikat ini atau tunjukkan bantahan serta suara anda dengan menolak calon PKR melalui peti undi di Sungai Kandis esok?



................
Najib Razak

https://www.facebook.com/157851205951/posts/10155503192680952/

No comments:

Post a Comment