61 Pelatih PULAPOL kritikal diserang strok haba - Randau Sarawak

Breaking

Friday, August 17, 2018

61 Pelatih PULAPOL kritikal diserang strok haba

KUALA KUBU BHARU: Seramai 61 pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, 12 daripadanya pengsan dan sawan akibat diserang strok haba ketika menjalani latihan, hari ini.

Kesemua mereka berada dalam keadaan kritikal, dihantar ke beberapa hospital sekitar Selangor dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Menurut sumber Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, Kementerian Kesihatan, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu dikatakan adalah sebahagian daripada latihan mereka.

Kumpulan pelatih terbabit dikatakan ditempatkan dalam sebuah bas dengan keadaan cuaca panas terik.

“Berikutan itu, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh (HSB) telah mengaktifkan Pelan Kecemasan MCI (Mass Casualty Incidence) membabitkan hospital itu, HKL, Hospital Selayang (HS), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam (HSA) sebaik menerima laporan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, 16 mangsa ditempatkan di zon merah (kritikal), seorang di zon kuning dan 44 pelatih lagi di zon hijau.

“Tiga mangsa yang kritikal dirujuk ke HSB, tiga mangsa dirawat di HKL, dua di HS, dua di HTAR dan enam lagi dirawat di beberapa hospital lain.

“Seorang pelatih dirawat di zon kuning, manakala 44 mangsa yang mengalami kesan ringan ditempatkan dalam bangunan berhawa dingin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pengesahan hanya boleh diperoleh daripada pihak pusat latihan berkenaan.


No comments:

Post a Comment