Tarif elektrik naik mulai Ahad

#KosSaraHidup #PriceHike #PeningkatanHarga #ManifestoPH

Berikutan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj, kerajaan memutuskan kos itu dilepaskan dalam bentuk surcaj “kos tak berimbang” (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT tersebut dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh sama.

“Pelarasan ICPT ini tidak melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.

“Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik, iaitu dianggarkan antara RM0.09 dan RM4.89 sebulan, dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0% cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula 1 Jun 2018,” katanya.

Menurut ST, ia berikutan persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kerja kawal selia berasaskan insentif bagi penetapan dan pelarasan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh kawal selia 3 tahun yang ke-2, bermula 2018 hingga 2020.

Di bawah IBR, tarif elektrik mempunyai 2 komponen utama, iaitu tarif asas yang tidak berubah dalam tempoh kawal selia IBR dan ICPT dalam bentuk rebat atau surcaj dalam tarif pengguna yang dilaksanakan setiap 6 bulan.

Menurut ST, ICPT untuk melepaskan apa-apa kos tak berimbang, iaitu perbezaan antara kos sebenar bahan api serta kos lain penjanaan yang didapati munasabah dan di luar kawalan TNB dengan kos unjuran yang diguna pakai dalam penetapan tarif asas bagi tempoh 6 bulan sebelumnya.

Bagi Januari hingga Jun 2018, suruhanjaya itu berkata, harga arang batu meningkat kepada AS$91.66/setan metrik berbanding harga diunjurkan dalam tarif asas, iaitu AS$75/setan metrik.

Kenaikan bagi tempoh 6 bulan pertama 2018 ini merupakan faktor utama menyebabkan kos penjanaan sebenar meningkat sebanyak RM698.19 juta bersamaan 1.35 sen/kWj.

Dalam pada itu, katanya rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWj yang diberikan kepada semua pengguna di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 6 bulan terdahulu akan ditamatkan mulai 1 Julai ini.

Selaras dengan itu, rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj yang diberikan dalam tempoh terdahulu bagi pengguna elektrik di Sabah dan Labuan turut ditamatkan mulai 1 Julai 2018, kata ST.

Katanya, kerajaan turut memutuskan pelaksanaan IBR di Sabah dan Labuan yang sepatutnya bermula 1 Julai 2018 ditangguhkan sehingga 1 Januari 2019.



Rujukan:



Author:

Facebook Comment