Terima kasih kakitangan SPAD - Nancy Shukri


KUALA LUMPUR 24 Mei - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri meluahkan rasa simpatinya terhadap nasib kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) setelah ia diumum bubar, semalam.

Nancy turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan optimis dengan kewibawaan kerajaan Pakatan Harapan dalam menguruskan nasib mereka yang bakal kehilangan pekerjaan akibat pembubaran tersebut.

"Saya bersimpati dengan staf SPAD apabila mendengar pengumuman bahawa SPAD akan dibubarkan oleh kerajaan. Saya berterima kasih kepada semua staf yang telah bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi.

"Saya percaya kerajaan baharu akan melakukan yang terbaik untuk staf seramai hampir 1,000 orang," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengumumkan pembubaran suruhanjaya tersebut dan memberitahu tugas-tugasnya akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.

Selain SPAD, Dr. Mahathir turut mengumumkan pembubaran Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment