Solat hajat minta PH kaji keputusan tamatkan guru al-Quran - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, May 24, 2018

Solat hajat minta PH kaji keputusan tamatkan guru al-Quran

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, solat hajat diadakan bagi memohon kepada Allah supaya pintu hati pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengkaji semula keputusan menamatkan perkhidmatan 3,075 penggerak masyarakat yang menjalankan tugas menyampaikan dakwah dan mengajar al-Quran, di Kelantan.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu, ini kerana, sebahagian besar mereka terbabit sudah menjalankan tugas itu lebih 20 tahun dan menjadikan ia sebagai satu-satunya mata pencarian.

Malah, mereka juga sudah memberikan sumbangan besar dalam masyarakat kerana berperanan utama melengkapkan lagi pengajian al-Quran walaupun pelajar sudah mempelajarinya di sekolah.

“Kita rasa kegiatan dakwah di Kelantan akan terencat dengan tindakan menamatkan perkhidmatan penggerak masyarakat ini khususnya dalam aspek pengajian al-Quran.

“Kita panggil penggerak masyarakat tapi tugasnya mengajar al-Quran selama dua jam sehari bagi lima hari seminggu di kampung.

“Kalau dulunya orang kampung membayar dalam bentuk barangan seperti beras kepada mereka yang mengajar al-Quran, namun keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menghargai sumbangan mereka untuk memberi elaun sebanyak RM400 sebulan.

“Elaun ini diberikan bagi mengurangkan beban ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar membaca al-Quran, selain sebagai tanda kebajikan kepada penggerak masyarakat ini menyampaikan dakwah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di Pejabat Perhubungan UMNO, di Kota Bharu, malam ini.

Sehubungan itu, beliau harap Kerajaan PH dapat melihat sumbangan dan kebajikan mereka kerana dalam konteks Kelantan, program dakwah pengajian al-Quran cukup penting bagi melengkapkan lagi apa yang dilaksanakan secara formal di sekolah.

“Sempena Ramadan ini, kita simpati dengan nasib mereka, sebab itu kita mengadakan solat hajat merayu semoga kerajaan PH mengkaji semula keputusan menamatkan perkhidmatan mereka memandangkan sumbangan besar berkaitan dakwah dan bacaan al-Quran di negeri ini.

“Mungkin kerajaan baharu mempunyai dasar mereka. Kita hormati keputusannya. Namun, mungkin sebahagian besar daripada penggerak masyarakat ini perlu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk disenaraikan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.


No comments:

Post a Comment