Rita Rudaini Dedah rahsia kahwin dalam gudang beras - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, May 3, 2018

Rita Rudaini Dedah rahsia kahwin dalam gudang beras


PELAKON, Rita Rudaini, 42, 'mendedahkan' rahsia kehidupannya menerusi buku berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan yang dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL2018), hari ini.

Antara rahsia dikongsikannya adalah foto perkahwinannya yang eksklusif dengan bekas suami pemain bolasepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008.

"Foto itu saya tak pernah kongsikan dengan sesiapa. Mungkin ramai tahu perkahwinan kami berlangsung di Thailand namun tak tahu bahawa ia dilangsungkan dalam gudang beras.

"Jadi, menerusi buku ini, saya kongsikan dengan peminat mengenai kisah kehidupan saya daripada sebelum berkahwin, bercerai, bersalin hingga sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, penerbitan buku hasil tulisan Tengku Khalidah Tengku Bidin itu bukanlah bertujuan mengaibkan sesiapa sebaliknya berkongsi kisah perjalanan hidupnya dan perasaannya ketika itu.

"Gambar itu pertama kali saya tunjukkan kepada Ku Along (Tengku Khalidah) ketika saya masih bergelar isteri. Perasaan saya pada ketika itu sangat bahagia.

"Jadi, sesuai dengan tujuan buku dihasilkan iaitu untuk berkongsi kisah kehidupan saya. Saya kongsikan juga saat kecapi rasa bahagia walaupun perkahwinan kami tidaklah berlangsung dalam majlis yang mewah," katanya.

Tambah pelakon Mami Jarum itu, dia juga tidak berselindung sebaliknya, mencurahkan semua pengalamannya ke dalam buku itu.

"Saya tak berselindung apa-apa dalam buku ini dan terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan wartawan lain yang menjadi penguat untuk saya keluarkan buku ini.

"Jadi, pembaca boleh rasa sendiri pengalaman saya dan saya harap, ia mampu menjadi penguat buat wanita-wanita di luar sana yang berdepan situasi sama seperti saya," katanya.

Penulis yang juga pengarang hiburan, Tengku Khalidah ditemui berkata, buku Kerana Aku Seorang Perempuan sudah disiapkan sejak lima tahun lalu, namun, menanti waktu sesuai untuk diterbitkan.

"Saya mengenali Rita sejak lebih 20 tahun lalu. Buku ini sudah disiapkan sejak lima tahun lalu. Namun, pada ketika itu saya ragu-ragu sama ada ia boleh diterbitkan atau tidak.

"Kemudian, penerbit, Mutalib Uthman menemui saya dan menyarankan agar saya terbitkan buku ini segera. Kerana itulah saya mendapat persetujuan daripada Rita dan terus terbitkan buku ini," katanya.

Kerana Aku Seorang Perempuan mula dijual di PBAKL2018 sejak lima hari lalu dan sudah lebih 1,000 salinan sudah terjual. Untuk cetakan pertama, buku itu dicetak sebanyak 3,000 salinan.

No comments:

Post a Comment