Rampasan di dua unit kediaman tiada kaitan dengan 1MDB - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, May 20, 2018

Rampasan di dua unit kediaman tiada kaitan dengan 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa rampasan yang dilakukan baru-baru ini di dua unit kediaman keluarganya di Jalan Raja Chulan di sini awal Jumaat adalah barangan peribadi dan tidak ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam beliau, Datuk Harpal Singh Grewal berkata Najib menyatakan kecewa dengan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu kondominium yang didiami anaknya, Mohd Norashman atau Ashman dan Nooryana Najwa atau Gina, dengan mendakwa serbuan itu tidak mengikut prosedur operasi standard.

Harpal mendakwa serbuan di kondominium Gina dilakukan semasa ketiadaan anak perempuannya itu, sebaliknya hanya pembantu rumah yang ada.

“Ini merupakan kejutan besar kepada keluarga apabila barangan yang disita dari bilik nombor satu adalah pakaian dan kasut yang dimilikinya secara peribadi dan telah dibeli atau dihadiahkan kepadanya sejak bertahun-tahun.

“Lebih mengecewakan, hadiah perkahwinan pasangan ini dirampas dan dikeluarkan oleh pihak yang membuat serbuan tanpa sebarang usaha untuk mengenal pasti ciri-ciri barangan yang disita. Selain itu, polis turut merampas beberapa pasang kasut bayi dan pakaian yang dibeli untuk anak kecil pasangan ini,” kata Harpal pada sidang media di hadapan kediaman Najib di Langgak Duta, di sini, hari ini.

Beliau berkata di kondominium Ashman, barangan peribadinya seperti telefon bimbit lama, lpad dan komputer riba telah disita.

“Kesemua barangan ini adalah peralatan kerja Ashman yang merupakan seorang pekerja bergaji. Di samping itu, barangan kepunyaan pembantunya seperti jam tangan, dan komputer riba juga dirampas.

Menurut Harpal, Gina bekerja dengan sebuah syarikat dana ekuiti swasta antarabangsa yang kukuh dan merupakan seorang wanita yang berjaya dengan caranya sendiri manakala suaminya juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan caranya sendiri serta berasal daripada keluarga yang berada.

“Rampasan ini boleh digambarkan dengan cara anggota polis mengambil sendiri makanan dan coklat di dalam peti sejuk selain mendesak agar makanan disediakan untuk mereka,” katanya.

Di samping itu, Harpal berkata publisiti meluas berhubung rampasan yang pada dasarnya barangan peribadi milik anak-anak Najib mengakibatkan penghinaan dan amat memalukan keluarga beliau.

“Kedua-dua penghuni kondominium tersebut merayu kepada JSJK supaya segera mengembalikan semua barangan peribadi dan mengelakkan daripada terus memalukan dan memberi tekanan kepada keluarga ini. Tidak ada kaitan dan tidak ada bukti prima facie untuk rampasan ini dilakukan,” kata Harpal.



No comments:

Post a Comment