PRU14: PM bidas Mahathir mahu kaji semula khidmat Grab - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, May 1, 2018

PRU14: PM bidas Mahathir mahu kaji semula khidmat Grab

Datuk Seri Najib Razak membidas Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ikrar beliau untuk mengkaji semula perkhidmatan e-hailing seperti Grab jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dalam cubaan untuk meraih sokongan daripada kalangan pemandu teksi.

Perdana menteri berkata ini merupakan satu lagi contoh nyata bagaimana Dr Mahathir enggan menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan untuk memahami bagaimana teknologi canggih memanfaatkan rakyat Malaysia, dengan mengetepikan sepenuhnya manfaat e-hailing kepada rakyat.

“Bagi anda semua yang akan mengundi buat pertama kali, anda semua mungkin tidak mengalami keadaan di bawah pemerintahan Mahathir. Untuk pengetahuan anda, ini tipikal Mahathirisme – ia sama ada caranya atau lebuh raya. Dengan tol.

“Lihat sahaja apa yang beliau lakukan terhadap Proton. Pengeluar kereta nasional itu mampu menjadi pembuat kereta multinasional terkemuka yang beroleh keuntungan dan menjadi syarikat yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Sebaliknya ia sentiasa perlukan bantuan kerajaan dan wang cukai rakyat untuk bersaing,” katanya dalam akuan Facebook dan Twitter beliau.

“Adakah anda mahu kembali ke masa lalu atau adakah kita mahu bergerak ke hadapan, sebagai sebuah negara, ke tahap lebih gah?” tanya pengerusi Barisan Nasional itu.

Najib berkata pendekatan yang betul terhadap perkhidmatan e-hailing adalah dengan menggabungkan manfaatnya iaitu kepada rakyat dan pada masa yang sama membantu pemandu teksi menggunakan teknologi baharu dan membantu mereka membeli kenderaan baharu.

Beliau turut menyenaraikan begitu banyak langkah diambil pentadbiran beliau untuk membantu pemandu teksi.

Sejak 2012, katanya kerajaan telah memberikan banyak bantuan kepada pemandu teksi di seluruh negara, yang terbaru ialah Kad Bantuan Teksi 1Malaysia dan kelulusan automatik bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata kerajaan juga membantu pemandu teksi dengan inisiatif seperti Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), skim tukar beli teksi, insurans peribadi serta peruntukan RM200 juta menerusi Bank Simpanan Nasional untuk membolehkan pemandu teksi mendapatkan pinjaman untuk membeli kenderaan baharu.

Najib berkata kerajaan melaksanakan semakan semula kadar tambang teksi pada 2015 dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) pada 2016.

“Semasa membentangkan Bajet 2018, saya telah mengumumkan bahawa geran RM5,000 bagi pembelian kenderaan baharu akan diberikan kepada pemandu yang ingin bertukar kepada perkhidmatan e-hailing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata turut diumumkan bahawa semua pemandu e-hailing dan kereta sewa diwajibkan mematuhi terma, syarat dan peraturan yang sama seperti pemandu teksi dalam usaha mewujudkan persaingan yang adil dan sihat.



Rujukan:

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#UndiBN
#DahulukanRakyat

No comments:

Post a Comment