#PRU14 : Petugas SPR diugut bunuh


SEORANG pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh menerusi Facebook (FB), semalam.

Pegawai Perhubungan Media PRU-14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mazrin Mahmud berkata, lelaki berusia 36 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Rembau, dekat Seremban, pada 12.35 tengah hari.

Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau, Rembau pada 28 April lalu itu menerima pesanan melalui WhatsApp daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin daripada FB memuatkan komen berbaur ugutan terhadap mangsa.

“Mangsa diugut akan dicederakan dan dibunuh selain terdapat beberapa perkataan jelik ditujukan kepadanya. Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis.

“Kami (polis) sudah merakam keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Sementara itu, Mazrin berkata, polis negeri ini membuka lima kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sejak 30 April lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, ia membabitkan laporan perbuatan khianat merosak dan menconteng papan tanda kempen, video pemimpin politik membuat tuduhan tidak berasas kepada parti politik lain serta kenyataan fitnah di laman sosial.

“Semua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama, Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi kempen PRU-14, sebanyak 139 ceramah politik dan 109 kempen diadakan bagi tempoh Sabtu lalu hingga semalam, namun tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Anti Berita Tidak Benar sekiranya ada pihak menyebar berita tidak sahih yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.


Facebook Comment