#PRU14 : Pas seru pengundi tolak Dr. Mahathir di Parlimen Langkawi


Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Mazlan Ahmad menyeru kepada rakyat di pulau peranginan tersebut supaya menolak Tun Dr. Mahathir dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan.

Beliau yang juga calon Pas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dalam masa turut menzahirkan rasa simpati dengan calon PKR Parlimen Langkawi itu yang disifatkan sudah tidak larat untuk menjadi wakil rakyat ketika usianya sudah menjengah 93 tahun.

"Saya hendak rayu, kesianlah dekat dia (Dr. Mahathir), jangan bagi dia jadi Ahli Parlimen Langkawi sebab dia sudah tidak larat. Dia sudah 22 tahun memerintah (sebagai Perdana Menteri).

"Kalau tuan-tuan dan puan-puan kesian kepada dia, pangkahlah Pas," katanya ketika menyampaikan ceramah di Pekan Kuah, di sini malam ini.

Yang turut serta dalam ceramah tersebut ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad; dan calon Pas DUN Ayer Hangat, Azlina Azinan.

Dalam PRU-14, Dr. Mahathir yang merupakan calon tertua dalam PRU-14 akan menghadapi saingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Zubir dari Pas di Parlimen Langkawi.

Dr. Mahathir yang membuat kemunculan semula di gelanggang politik selepas kira-kira dua dekad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sementara sekiranya gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP memenangi PRU-14.

Sementara itu, Mazlan juga menyeru kepada pengundi supaya memberi mandat kepada Pas bagi membuat perubahan di Pulau Langkawi.

"Kalau boleh, berilah kemenangan kepada Pas disemua dua DUN dan satu Parlimen di Langkawi," katanya. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment