#PRU14 :AWAS SERANGAN FITNAH MENJELANG HARI PEMBUANGAN UNDI

Menghampiri hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Rabu ini, pemimpin dan penyokong pembangkang semakin rancak menyebarkan berita palsu dan fitnah untuk mengelirukan rakyat.

Boleh dikatakan, hampir setiap hari pasti ada berita palsu yang disebarkan oleh golongan ini sekali gus mengesahkan kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ancaman fitnah yang dinamakannya sebagai ‘Tsunami PHitnah’ akan melanda negara pada musim PRU-14 ini.

Sehingga hari ini, Portal rasmi Barisan Nasional (BN) telah menyenaraikan 58 fitnah yang disebarkan dengan niat jahat oleh pemimpin dan penyokong gabungan pembangkang yang boleh di layari di sini, 

Pelbagai fitnah telah dilemparkan kepada BN termasuklah kerajaan BN akan menaikkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga 20 peratus, terdapat pengundi hantu di beberapa kawasan dan kerajaan BN menggunakan warganegara Bangladesh sebagai pengundi dalam PRU-14.

Malah, terdapat juga pemimpin parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang memasuki senarai penyebar fitnah, antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Edry Yusof dan pengasas Asal Bukan UMNO (ABU), Haris Ibrahim.

Dalam pada itu, Utusan Online melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengambil tindakan saman atas kenyataan fitnah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa beliau serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan kemenangan percuma kepada Mohamad untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, minggu lalu.

Perkara itu turut disentuh Khairy dalam laman Facebook miliknya dengan menyatakan, tindakan saman tersebut diambil setelah Rafizi gagal menarik semula dakwaannya dalam tempoh yang ditetapkan dan ia bertujuan untuk mengajar Rafizi supaya menghentikan perbuatan keji tersebut.

“Dalam memajukan negara dan menjaga keharmonian kaum, individu seperti Rafizi tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya terus bermaharajalela menghamburkan fitnah dan kebencian.

“Saya harap selepas ini Rafizi akan lebih matang dalam berpolitik,” katanya.


Facebook Comment