Polis Sarawak pantau unsur perjudian pada PRU-14


KUCHING 4 Mei - Polis Sarawak sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke semasa memastikan tidak wujud sebarang unsur perjudian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis, Datuk Seri Amer Awal berkata, langkah tersebut bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan dengan adil dan saksama.

Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes itu.

"Kita nasihatkan individu dan masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengatur keputusan pilihan raya.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan tidak sihat itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas pengundian pos di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Amer berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959. - UTUSAN ONLINE
 


Facebook Comment