Pengampunan Anwar atas asas apa, soal bekas ketua hakim negara

Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan asas pengampuan yang akan diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengatakan Lembaga Pengampunan perlu konsisten kerana ia akan memberi kesan pada permohonan di masa akan datang.

Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini berkata dia difahamkan Anwar yang disabitkan kerana kesalahan jenayah hendak diampunkan semata-mata untuk membolehkan beliau bertanding pilihan raya dan menjadi Ahli Parlimen.

Beliau merujuk kepada laporan berita yang memetik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengatakan suaminya itu akan diampun dalam masa seminggu.

“Apakah alasannya? Semua orang tahu, untuk membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen dan, seterusnya dilantik menjadi perdana menteri.

“Adakah itu satu alasan yang cukup dan berpatutan (sufficient and reasonable) bagi Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepadanya?

“Jika jawapannya ‘ya’, maka, jika selepas itu ada pula seorang banduan lain yang meminta diberi pengampunan untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen, adakah, atas asas yang sama, dia juga akan diampunkan? Jika tidak mengapa?

“Ahli-ahli Lembaga Pengampunan perlu memikirkan semua ini. Apa jawapan mereka? Mereka perlu konsisten. Jika tidak, tidak ada ketelusan,” kata Abdul Hamid, yang berkhidmat sebagai ketua hakim negara dari 1989 hingga 1994.

Abdul Hamid juga yang menulis alasan penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar daripada sabitan kes liwat pertama pada 2004.

“Itu saya laku semata-mata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkenaan.

“Perlu ditekankan sekali lagi, saya tidak menyoal sama ada beliau patut diampun atau tidak. Saya cuma menyoal asasnya,” kata Abdul Hamid.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersedia memberi pengampunan kepada Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabit kesalahan meliwat.

Dr Mahathir berkata pengampunan diraja untuk Anwar dibincangkan dalam pertemuan antara Sultan Muhammad V dan pimpinan PPBM, PKR, DAP dan Amanah, yang membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH), kelmarin.

Anwar merupakan pilihan pertama PH sebagai calon perdana menteri mengikut rancangan asal PH bagi pilihan raya umum ke-14. Dr Mahathir akan menyerahkan jawatannya selepas ketua umum PKR itu layak memegang jawatan perdana menteri ke-8.



Rujukan:



Author:

Facebook Comment