Pasukan petugas khas mengenai 1MDB bermesyuarat esok - Randau Sarawak

Breaking

Monday, May 21, 2018

Pasukan petugas khas mengenai 1MDB bermesyuarat esok

Pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengadakan mesyuarat pertamanya, esok.

Ini disahkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengetuai bersama pasukan petugas khas tersebut.

"Kami akan bermesyuarat esok. Kami akan bertemu dengan anda kemudian," kata beliau kepada pemberita sebelum meninggalkan Ilham Tower, di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan awal hari ini, mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Pasukan petugas itu dianggotai oleh wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

Selain Gani, pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.

Terdahulu, Gani, Abu Kassim dan Mohd. Shukri dilihat tiba di Ilham Tower pada pukul 2 petang sebelum meninggalkan kawasan itu pada 3.30 petang.

Bangunan itu menjadi tumpuan kerana di situlah, Majlis Penasihat Kerajaan yang ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan mengenai hal ehwal ekonomi dan kewangan, mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menjalankan tugasnya.

Majlis Penasihat Kerajaan pula telah menubuhkan jawatankuasa berasingan untuk menyiasat skandal 1MDB, dengan diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, yang juga kelihatan berada di bangunan itu.

Abu Talib memberitahu pemberita kemudian, bahawa kedua-dua pasukan itu komited untuk menyiasat 1MDB secara teliti dan adil.

"Kami akan menyiasat 1MDB dengan tujuan untuk mendapatkan kembali wang.

"Ia mesti dijalankan selaras dengan amalan dan prosedur yang diterima," kata beliau dan menambah kedaulatan undang-undang akan dipatuhi dalam melaksanakan tugas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment