Nostalgia calon Bebas, lambang ikan - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, May 6, 2018

Nostalgia calon Bebas, lambang ikan


“ARWAH seorang yang sangat tegas, tetapi memiliki sifat kepimpinan tinggi. Arwah selalu berpesan agar utamakan keluarga, hormati penduduk dan jangan sesekali meninggalkan solat,” kata Abdul Malek Harun, 67.

Abdul Malek adalah anak kepada Allahyarham Harun Mulup, calon bertanding atas tiket Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri 1964.

Nostalgia menemani arwah bapanya berkempen segar semula dalam ingatan Abdul Malek, selepas poster pencalonan Harun tular di Facebook hingga menarik perhatian ramai netizen berikutan dianggap unik.

Poster yang tular itu memaparkan foto Harun, sebagai calon bebas DUN Johol, menggunakan lambang ikan bagi Pilihan Raya Negeri, bertarikh 25 April 1964.

Katanya, ketika itu dia berusia 13 tahun, namun turut merasakan kemeriahan berkempen kerana seluruh ahli keluarga memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada arwah bapanya.

“Kami menemani bapa ketika berkempen, namun arwah kalah dan hilang wang pertaruhan berjumlah RM200. Selepas itu arwah melakukan kerja kampung untuk membesarkan kami 17 adik-beradik.

“Pada 1994 bapa meninggal dunia ketika usianya 68 tahun akibat serangan angin ahmar. Manakala ibu lebih awal pergi meninggalkan kami iaitu pada 1988 ketika usianya 56 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Air Mawang, Kuala Pilah.

ALLAHYARHAM Harun (dua dari kiri) ketika bertemu penyokongnya selepas bertanding calon bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol pada Pilihan Raya Negeri pada 1964. FOTO Amran Yahya

Sementara itu, rakan rapat Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Chew kini berusia 83 tahun berkata, dia adalah antara penyokong kuat Harun ketika itu.

“Harun adalah rakan karib saya ketika kecil. Apabila dia nyatakan hasrat mahu bertanding, saya orang pertama menyokongnya. Meskipun bertanding atas tiket bebas, kami tetap bersemangat ketika berkempen.

“Setiap hari kami berkempen termasuk menggunakan pembesar suara dari dalam kereta untuk menarik perhatian orang ramai, namun Harun tewas dan tidak dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya.

Katanya, meskipun calon mereka kalah, namun dia bersama rakan Melayu dan Cina bersatu membantu Harun yang ketika itu hidup dalam kesusahan.

No comments:

Post a Comment