Najib Terkilan Polis Geledah Kediaman Lebih 20 Jam

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terkilan kerana polis ambil 20 jam untuk geledah kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini sehingga hari pertama ibadah puasa terganggu.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal berkata polis hampir selesai menggeledah kediaman itu dan hanya menunggu untuk membuka kunci peti besi berusia 20 tahun yang terletak di tingkat pertama rumah banglo berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa untuk menyelesaikan serbuan selama 20 jam itu kerana mereka cuba memecahkan peti keselamatan berkenaan.

Difahamkan, kunci peti besi itu hilang selama bertahun-tahun dan tiada barang berharga di dalamnya.

“Mereka kini cuba membuka peti besi dengan menggerudi dan kaedah lain, dalam masa sama mereka menggeledah seluruh rumah,” katanya yang baru selesai berjumpa anak guamnya itu.

Harpal berkata, pihak polis pada mulanya berjanji untuk meninggalkan kediaman itu selepas mengambil tiga kotak barang seperti pakaian, hadiah dan beg tangan kira-kira jam 5 pagi.

Namun, tambah beliau, pihak polis masih menjalankan beberapa pemeriksaan sehingga jam 8.30 pagi apabila tiba-tiba mereka mengerahkan pasukan untuk membuka peti keselamatan.

“Mereka cuba membuka peti besi tetapi tidak berjaya jadi mereka mula menggerudi sehingga jam 5 pagi,” katanya sambil menambah bahawa proses itu menyebabkan gangguan dan bunyi bising kepada keluarga Najib serta jiran.

“Anak guam saya ternyata kecewa dengan apa yang berlaku sejak jam 5 pagi tadi, pencarian yang dilakukan di premis dan barangan yang disita setakat ini kelihatan tidak penting.

“Kehadiran pegawai polis di kediaman secara berterusan dan penggerudian peti keselamatan menyebabkan gangguan yang tidak wajar serta tekanan perasaan kepada anggota keluarga Najib, kakitangan serta individu lain dalam kediaman itu selain mewujudkan imej buruk kepada anak guam saya, “katanya.

Menurut Harpal, serbuan pada malam Ramadan itu menyebabkan kesulitan kepada keluarga dan kakitangan Najib, menafikan hak mereka untuk melaksanakan kewajipan agama seperti berbuka puasa dalam suasana tenang pada hari pertama.

Bagaimanapun katanya, anak guam beliau  bersetuju meneruskan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkenaan tetapi gangguan itu kini berlanjutan selama hampir 18 jam,” katanya.

Sementara itu, jika semalam Najib melalui Twitternya menyertakan gambar beliau sedang solat terawih di Masjid Kg Baru, malam ini twitternya menunjukkan gambar beliau bersama ibunya Tun Rahah Mohamed Noah.

“Alhamdulillah berkat bulan Ramadan, dapat bersama Bonda Tun Rahah sementara menunggu masuk waktu Isyak dan solat terawih tadi,” tulisnya yang kemudian turut dikongsi netizen.

Pelbagai pihak, termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan tindakan polis melakukan serbuan dan menggeledah kediaman Najib pada waktu yang dianggap tidak sesuai.



-----------

Author:

Facebook Comment