Mohamad Fitri mengaku miliki selaras senapang patah, beberapa butir peluru

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa Mohamad Fitri Pauzi yang merupakan tertuduh pertama dalam kes bunuh aktivis sosial,Bill Kayong memang ada memiliki selaras senapang patah dan beberapa butir peluru.

Menurut Fitri, senapang patah dan peluru itu telah dibelinya daripada seorang individu dikenali sebagai Tony di pekan Long Lama sekitar bulan Januari 2016 iaitu lima bulan sebelum dia ditangkap berhubung kes pembunuhan tersebut.“Saya membeli senapang patah dan peluru itu daripada Tony untuk tujuan berburu haiwan,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama bagi pihak pembelaan semalam.

Terdahulu, ketika dipanggil membela diri, Fitri yang diwakili peguam bela Ranbir Singh dan dibantu Orlando Chua telah diberikan tiga pilihan sama ada memberi keterangan bersumpah atau memberi keterangan dari kandang saksi dan boleh disoal atau berdiam diri dan dia memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi.Ketika disoal lanjut oleh Ranbir,

Fitri memberitahu pada pagi 30 Mei 2016, dia telah menyerahkan senapang patah itu kepada seorang rakan bernama Lau Lee Shen untuk disimpan kerana dia tidak memiliki lesen senjata yang sah.Namun pada sebelah malam hari yang sama (30Mei), dia telah mengambil semula senapang patah itu daripada Lau untuk digunakannya pergi berburu di kawasan Jalan Long Lama berhampiran sebuah kem pembalakan dan mengembalikan semula (senapang) kepada Lau pada pagi 31 Mei 2016 Kepada soalan lain, kenapa dia boleh mengingati tarikh 30 dan 31 Mei itu dengan baik, Fitri memberitahu kerana pada keesokan hari iaitu 1 Jun 2016 merupakan sambutan Hari Gawai Dayak.

Menurut Fitri, sebelum ditangkap jam 5 petang, 30 Jun 2016, dia bekerja di KTV Blue Post selama setahun sebagai ‘bouncer’ dengan waktukerja tujuh hari seminggu bermula jam 9 malam hingga 7 pagi bergantung kepada pelanggan pusat hiburan tersebut.Ketika ditanya di mana dia berada pada pagi 21 Jun 2016 (hari kejadian), saksi (Fitri) memberitahu sebaik habis kerja jam 7 pagi dia telah pergi ke sebuah gerai makan dan kedai kopi yang terletak di antara simpang Jalan Sukma dan Lorong Desa Senadin 2C.Namun sebelum ke situ, sekitar jam 7.20 pagi, dia singgah sebentar di tepi jalan berhampiran Maybank (berdekatan Hotel Grand Palace) untuk bertemu seorang rakan bernama Man yang ingin membayar harga rusa yang diburunya pada 31 Mei lalu.

“Saya sampai di gerai makanan di Senadin sekitar jam 8.20 pagi kerana saya memandu perlahan disebabkan kenderaan saya ada masalah dan meninggalkan gerai itu jam 10 pagiuntuk pulang ke rumah saya di Pujut 4D Dawai 1,” katanya.

Kepada satu soalan lain berkaitan topeng muka yang pernah dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah, Fitri memberitahu pernah melihat topeng muka itu sebelum ditunjukkan di mahkamah iaitu di Balai Polis Trafik Miri beberapa hari selepas dia ditangkap.Katanya polis telah meletakkan topeng itu sehingga menutupi keseluruhan bahagian kepalanya sebelum membuka semula topeng tersebut,

sementara dia duduk dalam keadaan tangan digari ke belakang.Sementara itu, ketika diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Latif, Fitri menafikan bahawa dia pergi ke gerai makanan di Desa Senadin bertujuan untuk memerhatikan pergerakan si mati (Bill Kayong) kerana jarak gerai dan rumah si mati adalah berdekatan.Malah saksi juga tidak bersetuju kepada kenyataan TPR bahawa dia telah berada di Desa Senadin jam 6.30 pagi, 21 Jun 2016 untuk memerhatikan si mati dan mengekori keretanya sehingga ke lampu isyarat sebelum menembaknya (si mati).

Fitri juga menafikan bahawa keterangan bukti yang diberikannya berkaitan pertemuan dengan Man, transaksi antara dia dan Man serta masalah kereta hanya cerita palsu dan rekaan sahaja.Terdahulu, Hakim Ravinthtan N. Paramaguru membenarkan permohonan peguam bela tertuduh untuk memanggil seorang saksi pendakwaan bagi memberi keterangan dalam kes bela diri tertuduh.

Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.Perbicaraan kes bersambung esok (hari ini).

sumber utusan borneo online


Facebook Comment