Dr. Mahathir mungkin pegang jawatan PM hingga dua tahun

Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kekal menjawat jawatan Perdana Menteri yang disandang hari ini sehingga dua tahun akan datang.

Bercakap dalam wawancara bersama Wall Street Journal, Perdana Menteri berkata, dia akan memainkan peranan di sebalik tabir setelah melepaskan jawatan kelak.

“Di peringkat awal mungkin berlanjutan satu atau dua tahun, saya akan menjadi Perdana Menteri. Saya akan memainkan peranan di sebalik tabir, walaupun sudah meletak jawatan,” katanya.

Dalam temubual menerusi persidangan video dari Tokyo itu, Perdana Menteri turut memberitahu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan esok.

Dr. Mahathir menambah, selepas pembebasan itu, Anwar perlu bertanding bagi memperolehi kerusi Parlimen dan mungkin selepas itu diberikan jawatan dalam Kabinet kerajaan.

Bagaimanapun jelas Perdana Menteri, Anwar akan memainkan peranan yang sama dalam pakatan iaitu sebagai pemimpin kepada tiga lagi parti lain dalam Pakatan Harapan.

“Saya menjangkakan dia (Anwar) memainkan peranan sama sebagai pemimpin kepada tiga lagi parti lain. Tidak akan ada kuasa khas diberikan, kecuali kuasa yang diberikan sebagai menteri, timbalan menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Perdana Menteri berkata, soal sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipenjarakan bergantung kepada hasil penyiasatan.

“Jika tidak ada kes, kami tidak akan membenarkan penahanan tanpa perbicaraan,” katanya.

Mengenai pelaburan langsung luar negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengalu-alukan pelaburan luar dari China dan lain-lain negara, bagaimanapun pelaburan tersebut memasti membawa modal dan teknologi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. - REUTERS


Facebook Comment