Daim jawab Anwar: 'Saya disiasat tiga PM tapi tak didakwa' - Randau Sarawak

Breaking

Saturday, May 19, 2018

Daim jawab Anwar: 'Saya disiasat tiga PM tapi tak didakwa'

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin menolak kecurigaan terhadap dirinya yang dilontarkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini mempersoalkan komitmen Daim terhadap ketelusan demokratik dan ketidakmampuan mantan menteri kewangan itu untuk "menjelaskan beberapa masalah besar pada masa lalu."

Mengulas hal berkenaan, Daim berkata beliau tidak pernah didapati bersalah terhadap sebarang salah laku walaupun tertakluk kepada banyak penyiasatan di bawah beberapa pentadbiran.

"Orang ramai tak tahu ini tetapi setiap kali mereka membuat laporan (terhadap saya), saya telah disiasat ... polis dan SPRM semua telah datang dan menyiasat saya.

"Setiap masa! Ketika masa (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, semasa (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan juga di bawah masa (Datuk Seri) Najib Abdul Razak.

"Setakat ini, saya belum didakwa (mahkamah).

"Satu-satunya perkara yang mereka dapat (melibatkan saya) adalah Suruhanjaya Siasatan Diraja (skandal Forex Bank Negara) yang saya fikir malahan Mahathir dan Anwar juga turut dipanggil," katanya ketika ditanya semasa sidang akhbar di Menara Ilham hari ini.

Anwar, yang telah dibebaskan sepenuhnya dan dilepaskan daripada penjara pada Rabu minggu ini, juga menimbulkan kebimbangan mengenai "Umno 2.0" yang merangkumi kerajaan Pakatan Harapan sekarang.

Daim menolak kebimbangan tersebut.

"Kenapa perlu begini? Kami tak mahu begini.

"Kenapa perlu saya keluar (melawan Umno)? Kenapa perlu saya lawan Umno jika kami mahu terus dengan Umno?

"Masuk akalkah bagi kamu?" Soalnya.

Ketika PRU14, Daim berkempen menyokong HARAPAN.

Menjelaskan lanjut kenyataannya sebelum ini bahawa tidak bijak tergesa-gesa menaikkan Anwar sebagai PM, Daim berkata hari ini beliau percaya pemimpin PKR memahami janji yang termaktub dalam manifesto HARAPAN PRU14.

Anwar ahli politik 'cekap'

"Saya telah bertemu dengan Anwar beberapa kali, Anwar ialah seorang ahli politik yang 'cekap'. Beliau tahu kehendak akar umbi dengan baik dan beliau tahu mengenai manifesto HARAPAN.

"(Manifesto) itu menawarkan Mahathir sebagai Perdana Menteri peralihan selama dua tahun dan rakyat menerima hal ini.

"Apabila kamu berkempen Mahathir sebagai PM ketujuh, kamu perlu menghormati hal itu," katanya.

Daim beranggapan ahli politik yang lebih muda dalam parti Anwar yang mendesak untuk mendapatkan jawatan itu.

"Di dalam mana-mana parti politik, terdapat mereka yang tidak sabar...orang muda selalu hendak cepat...

"Merekalah yang mahu Anwar (menjadi PM)," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan beliau tidak terburu-buru untuk berkecimpung semula dalam politik.




No comments:

Post a Comment