Cerita sedih reformasi jadi mengelirukan - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, May 2, 2018

Cerita sedih reformasi jadi mengelirukan

Selepas bersekutu dan melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara mereka, PKR seakan-akan sudah kehabisan modal kempen apabila kisah sedih reformasi yang sering diulang sejak dahulu tidak lagi relevan untuk digunakan.


Ini kerana perjuangan reformasi yang bermula 20 tahun dahulu bagaikan sudah terkubur selepas PKR menerima Dr. Mahathir sebagai rakan baharu mereka sedangkan reformasi itu sendiri diperjuangkan untuk menjatuhkan kepemimpinan bekas Perdana Menteri itu.


Itulah senario yang berlaku kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika berceramah di Permatang Pauh semalam yang mana kisah sedih reformasinya tidak mendapat perhatian atau simpati daripada penduduk tempatan apabila hanya beberapa orang sahaja yang hadir ke ceramah tersebut.


Mengulas perkara tersebut, Ketua Perwira Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azlan Abu Bakar berkata, perjuangan reformasi yang menjadi batu asas penubuhan parti tersebut telah ‘dikuburkan’ dengan jayanya oleh Dr. Mahathir.


“Semua orang tahu PKR ditubuhkan untuk menentang kezaliman Dr. Mahathir, jadi apabila insan tersebut sendiri diangkat sebagai sekutu sekarang, boleh dikatakan perjuangan mereka telah terkubur.


“Hal ini menyebabkan mereka hanya mampu mengulang modal kempen yang sudah basi iaitu dengan mengitar semula janji-janji manis dan memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE hari ini.


Semalam, Nurul Izzah yang berkempen di kerusi Parlimen Permatang Pauh terus menjaja cerita bagaimana dia menderita dan dizalimi selepas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan pada 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir.


Calon PKR kerusi Parlimen Permatang Pauh itu turut mendakwa tidak ada universiti tempatan yang mahu menerimanya meskipun mendapat keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment