BN Sarawak tidak sertai Pakatan Harapan - Abang Johari - Randau Sarawak

Breaking

Monday, May 14, 2018

BN Sarawak tidak sertai Pakatan Harapan - Abang Johari


KUCHING 14 Mei - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) seperti dilaporkan dalam portal berita, MalaysiaaKini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata, keputusan tidak menyertai kerajaan Pusat yang baharu itu dibuat atas dasar kepentingan rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerjasama kerajaan negeri dengan PH tetap dijalin kerana terdapat bidang kuasa terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

“Tidak...buat masa ini kita tidak menimbang untuk sertai PH.

“Kita akan menjalinkan hubungan kerjasama memandangkan terdapat beberapa bidang tertentu adalah di bawah kuasa kerajaan Persekutuan, itu sahaja,’  katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Speaker dan Penaja Persidangan Digital Ekonomi Antarabangsa Sarawak 2018 ( IDECS 2018) di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, beliau tidak pernah membuat sebarang tawaran untuk bergabung dengan PH selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ditanya tentang pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan di Sarawak, beliau berkata, projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri tidak akan terjejas kerana pembiayaannya adalah menggunakan peruntukan negeri.

Namun bagi projek di bawah kerajaan Pusat pula, katanya, beliau menyerahkan kepada kepimpinan kerajaan baharu untuk menentukannya.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment