Apa muslihat PH cadang jual pegangan dalam Petronas?

Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan bernilai RM 1 trilion mencetuskan kebimbangan rakyat.

Malah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) selari dengan kebimbangan rakyat dan kecewa jika kerajaan terjerumus dalam tindakan tidak wajar dan bertindak di luar kawalan dengan menggunakan GLC atas kepentingan pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan, BN dan UMNO tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan.

“ Apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu?

“Jika idea itu digunakan, apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor’s atau Moody’s dan Fitch?,” ujar kenyataan Unit Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Justeru, kerajaan PH diminta berhenti daripada mempolitikkan hutang negara.

Ini kerana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM 686.8 bilion dan bukannya RM 1 trilion.

Menurut kenyataan itu, kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya.

Lebih malang ialah mewar-warkan jumlah hutang yang tinggi untuk menutup kegagalan dalam memenuhi permintaan rakyat.

“UMNO beranggapan Kerajaan Pakatan Harapan tidak ada ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah.

“Mereka gagal ataupun enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri dan fakta bahawa defisit fiskal kita menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus,” tegas kenyataan tersebut.

UMNO turut mempersoal kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM 200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM 800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

“Apakah Pakatan Harapan bercadang menjual saham dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada?

Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (atau lebih tepat lagi campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada?

Mungkin juga PH boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing,” jelasnya.

Dalam pada itu, UMNO turut juga membangkitkan persoalan bagaimana pula seorang yang kes rasuahnya masih belum selesai, boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi?

Selain itu, kesediaan kerajaan menghapuskan GST yang setakat ini memperkukuhkan perolehan negara sebanyak RM 44.3 bilion berbanding hanya RM 18 bilion di bawah SST tahun 2014 serta hutang PTPTN berjumlah RM 45 bilion, mencerminkan betapa hutang RM 1 trilion rekaannya tidak langsung memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.

Dalam pentadbiran BN sebelum ini, hutang kerajaan diurus dengan baik. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa yang sama mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

Oleh itu kerajaan PH diminta berhenti segera bersandiwara supaya FDI tertinggi dalam sejarah diraih oleh BN tidak terus ditarik keluar, pasaran saham menjunam dan nilai matawang terus jatuh.

Rakyat pasti tidak mahu seolah-olah kerajaan hanya wujud untuk memperkudakan isu ini. Janganlah menyembunyikan kelemahan kerana kelemahan yang ada ini mudah dihidu oleh rakyat.




Author:

Facebook Comment