[Video] RoS arah Parti Cap Bunga (PPBM) dibubar sementara

Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Suriyati Ibrahim, berkata, perintah itu memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.



Lihat video:
https://youtu.be/ofCcCyTi5ig

Beliau berkata, PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

"Perintah pembubaran sementara itu sudah dikemukakan kepada PPBM pada jam 12.30 tengahari tadi dengan dialamatkan bagi serahan kepada Setiausaha Agung PPBM.

"ROS dapati PPBM gagal menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) akta sama pada 28 Februari lalu.

"Jadi, menurut Seksyen 14 (6) Akta Pertubuhan 1966, sekiranya PPBM dalam tempoh tidak lebih 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir maklumat dan dokumen seperti diperintahkan, ROS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara berkenaan.

"Berdasarkan Seksyen 14 (7) akta sama, selepas tamat tempoh 30 hari itu, sekiranya ada rayuan dan selepas dari tarikh jika rayuan itu ditolak, maka Perintah Pembubaran Sementara ini akan menjadi mutlak dan PPBM dibatalkan pendaftarannya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kronologi

24 Jun 2016- Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada UMNO

9 Ogos 2016- Borang permohonan untuk mendaftarkan PPBM dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ahli jawatankuasa

8 September 2016- ROS meluluskan penubuhan Parti PPBM.

27 Oktober 2016 - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat kuasa serta-merta.

9 November 2017- ROS mengeluarkan kesalahan PPBM kerana menggunakan istilah Armada yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti sekali gus boleh menyebabkan ia dibatalkan

17 November 2017 - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh diharamkan pendaftarannya kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti itu.

Tiga kesalahan itu ialah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

23 November 2017- PPBM kemuka permohonan daftar parti kepada ROS.

24 November 2017 - Sebanyak 358 aduan berhubung kegagalan pucuk kepemimpinan PPBM mematuhi ketetapan parti sudah dikemukakan kepada ROS oleh 26 bahagiannya di Johor setakat 20 November lalu.

7 Januari 2018- Pengerusi PPBM Tun Mahathir kemudian dilantik sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan.

15 Februari 2018 - Bekas Ketua Pemuda PPBM Bahagian Klang, Mohd Kairol Faizal Mohd Nordin mendesak ROS didesak menggantung atau membatalkan PPBM jika isu perlanggaran perlembagaan yang dilakukan pimpinan parti bertentangan dengan mana-mana Akta Pertubuhan Malaysia.

21 Februari 2018 - Beberapa pemimpin PH memfailkan saman terhadap ROS kerana mendakwa jabatan itu gagal memberi maklum balas terhadap permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.

22 Februari 2018 - Hampir 1,000 ahli akar umbi dan bekas pemimpin kanan PPBM berhimpun di hadapan Ibu Pejabat ROS di sini, bagi mendesak tindakan segera dan tidak memberi 'keistimewaan' kepada PPBM, jika terbukti terdapat salah laku dan pelanggaran fasal dalam perlembagaan parti itu.

9 Mac 2018 - ROS mengeluarkan kenyataan bahawa satu notis dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 kepada PPBM, yang mengkehendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan berkenaan.

Menerusi Notis 14 (2) itu, PPBM diarah mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti terbabit.

10 Mac 2018 -Bekas Exco Armada PPBM Wahazir Wahabi, menyifatkan teguran ROS terhadap parti itu, sebagai bukti kebenaran dakwaan ahlinya selama ini bahawa parti itu tidak mengendalikan urusan parti mengikut undang-undangnya sendiri.

Beliau berkata adalah terbukti parti itu sudah melanggar perlembagaannya sendiri dalam beberapa perkara, seperti maklumat perhimpunan agung tahunan yang tidak betul dan mewujudkan 'sayap haram' dikenali sebagai Armada tanpa peruntukan di dalam perlembagaan.

16 Mac 2018 - Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut ROS, iaitu laporan mesyuarat bahagian dan cawangan kerana ia belum dan tidak dapat dilaksanakan.

1 April 2018 -Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, mempersoalkan ketulenan beberapa dokumen yang didakwa diserahkan parti itu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ahli PPBM Gombak, Mohd Azimin Muhamad, mendakwa mereka mengesyaki dokumen membabitkan mesyuarat cawangan dan bahagian yang diserahkan kepada ROS pada 29 Mac adalah palsu.

Beliau berkata, tidak mungkin kepemimpinan parti itu boleh menyiapkan dokumen terbabit memandangkan PPBM tidak pernah mengadakan mesyuarat pada peringkat bahagian dan cawangan.



--------------
Rujukan:


Author:

Facebook Comment