Skandal Tanah Ijok: Khalid Ibrahim kecewa dengan penjelasan isu tanah - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, April 3, 2018

Skandal Tanah Ijok: Khalid Ibrahim kecewa dengan penjelasan isu tanah

Khalid mendesak kerajaan negeri mendedahkan semua kronologi peristiwa dan dokumen berkaitan termasuk penghakiman persetujuan antara kerajaan negeri dan pemaju.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kecewa dengan laporan penjelasan 19 muka surat berkenaan isu tanah Ijok yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Selangor dan diedarkan kepada wartawan dalam satu sesi penjelasan minggu lepas.

Bekas menteri besar berkata laporan itu tidak mendedahkan dokumen-dokumen penting berkaitan dengan penghakiman persetujuan di antara kerajaan negeri dan 2 syarikat berkenaan, iaitu LBCN Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd, pada Mei 2016 yang menjadi asas kepada bagaimana isu ini terbongkar.

“Sepatutnya dokumen-dokumen seperti perjanjian penyelesaian dan perjanjian penyelesaian tambahan didedahkan agar rakyat tahu kebenaran sepenuhnya. Mengapa sehingga kini dokumen-dokumen tersebut tidak didedahkan?” katanya di Facebook.

Khalid berkata memang benar terdapat 3 plot tanah iaitu Alam Perdana, Alam Mutiara dan Alam Utama tetapi apa yang tidak disebut adalah tanah 2,200 ekar yang dikatakan milik swasta tersebut, yang dikenali sebagai Alam Mutiara dan Alam Utama, terlibat dalam penghakiman persetujuan yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan LBCN dan Mujur Zaman.

“Keduanya, tanah 2,200 ekar inilah yang disenaraikan secara khusus dan jelas di dalam penghakiman persetujuan yang mana kerajaan negeri bersetuju akan melepaskan segala tuntutan ke atas tanah-tanah tersebut yang telah diambil melalui proses pengambilan tanah yang saya lakukan ketika menjadi menteri besar.

“Proses pengambilan tanah telah dibuat atas dasar kepentingan awam ditambah pula dengan kegagalan LBCN dan Mujur Zaman untuk mematuhi syarat-syarat pemberimilikan serta kegagalan untuk memulakan dan menyiapkan pembangunan di tanah tersebut.

“Dengan menandatangani penghakiman persetujuan tersebut, kerajaan telah memberi persetujuan untuk melepaskan serta menggugurkan semua tuntutan terhadap tanah 2,200 ekar tersebut dan menyerahkan semula kepada LBCN dan Mujur Zaman,” katanya.

Beri jaminan?

Beliau berkata jika benar kerajaan negeri tiada kena mengena dengan tanah 2,200 ekar, bagaimana ia boleh memberi persetujuan untuk menggugurkan semua tuntutan dan menarik balik semua notis pengambilalihan yang dikeluarkan melalui Akta Pengambilan Tanah.

Demikian itu, apabila kini tanah-tanah itu telah dibeli oleh sebuah syarikat swasta, adakah mungkin syarikat swasta berani mengambil risiko membeli tanah yang terlibat dalam tuntutan undang-undang pengambilan oleh kerajaan negeri.

“Jika jawapannya tidak, rakyat pasti akan bertanya lagi, adakah mungkin satu jaminan telah diberikan oleh kerajaan negeri untuk membatalkan pengambilan?

“Jika jawapannya ya, maka boleh dirumuskan kerajaan negeri sememangnya terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam perbincangan dan/atau penjualan tanah 2,200 ekar tersebut,” katanya.

Pampasan

Dalam pada itu, Khalid mempersoalkan adakah kerajaan negeri memainkan peranan dalam memastikan transaksi jual beli tanah 2,200 ekar tersebut dimuktamadkan dengan memberi jaminan kelulusan pelan pembangunan serta menjamin nilai pembangunan kasar (GDV) sebelum persetujuan penghakiman dibuat.

Beliau juga mempersoalkan adakah benar kerajaan negeri mendapat 1,000 ekar tanah Alam Perdana tanpa perlu membayar walau 1 sen.

“Saya telah merampas tanah lebih Alam Perdana seluas 1,000 ekar dan mendaftarnya atas nama Menteri Besar (Selangor) Inc (MBI). Apabila kerajaan membuat keputusan untuk menggugurkan tuntutan terhadap tanah seluar 2,200 ekar, ini bermakna kerajaan negeri telah melepaskan tanah 2,200 ekar tanah untuk memiliki 1,000 ekar tanah sahaja yang telah pun saya perolehi terdahulu?

“Kononnya pampasan bagi rampasan dan pengambilan tanah seluas 3,200 ekar tanah akan mencecah RM4.4 bilion. Benarkah? Jika diamati kenyataan akhbar sebelum ini yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar serta peguam Sivarasa Rasiah yang mewakili peneroka-peneroka, kerajaan negeri dikatakan terpaksa bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah kerana jika tidak berhadapan dengan nilai pampasan mencecah RM1.4 bilion.

“Jadi, mana pula datang lagi RM3 bilion yang dikatakan oleh Azmin,” katanya, merujuk kepada Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Lebih baik swasta setuju

Beliau berkata jika benar pampasan bagi 1,000 ekar yang telah terdapat pembangunan dan prasarana dianggarkan RM860 juta, maka 2,200 ekar tanah yang belum dibangunkan tidak mungkin mencecah lebih RM3 bilion hingga menjadikan jumlah pampasan RM4.4 bilion.

Katanya, nilai RM860 juta tersebut masih belum muktamad kerana beliau telah meminta peguam mencabarnya di mahkamah bagi mendapatkan taksiran yang lebih munasabah kerana tanah tersebut masih dalam kategori pertanian.

“Jika pun benar pampasan bagi 1,000 ekar adalah RM860 juta, maka jika dicongak ratio yang sama maka 3,200 ekar adalah RM2.75 bilion. Jadi dari mana pula nilai pampasan RM4.4 bilion yang dinyatakan oleh Azmin.

“Apa-apapun, katalah benar pampasan mencecah RM2.7 bilion atau mungkin RM4.4 bllion; persoalannya, mengapa LBCN dan Mujur Zaman menjual tanah 2,200 ekar pada harga RM1.18 bilion dan sanggup pula melepaskan 1,000 ekar kepada kerajaan negeri?

“Tidakkah lebih baik mereka setuju sahaja dengan perampasan dan pengambilan dengan bertegas mempertahankan tuntutan pampasan dan pengambilan tanah-tanah tersebut,” katanya.

Tunduk kepada pemaju

Selain itu, Khalid juga membangkitkan, tidakkah terdapatnya satu keadaan yang memeranjatkan apabila kerajaan negeri dikatakan takut dengan risiko membayar RM1.4 bilion.

Beliau berkata, tetapi tiba-tiba pemaju yang membeli tanah 2,200 ekar tersebut dengan bangga mengumumkan mereka akan memajukan tanah 2,200 ekar yang berjaya dibeli dengan harga RM1.18 bilion (RM12 sekaki persegi) dengan nilai kasar pembangunan (GDV) berniai RM15 bilion.

“Pengumunan pemaju ini dilakukan seawal September 2015 – yakni jauh lebih awal dari penghakiman persetujuan yang kerajaan negeri meterai iaitu pada Mei 2016.

“Bukankah kerajaan negeri mempunyai kemahiran pihak berkuasa tempatan serta beberapa jabatan yang lain seperti Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Penilaian yang terlibat dalam meluluskan pelan pembangunan, jumlah densiti dan akhirnya penentuan terhadap nilai GDV sesuatu projek pembangunan?

“Mana mungkin kerajaan negeri tidak berkeupayaan membuat penilaian tepat terhadap nilai hartanah sehinggakan Azmin berhujah kononnya jika kerajaaan negeri meneruskan semua tindakan yang telah dimulakan oleh saya; merampas dan mengambilalih tanah-tanah maka kantung perbendaharaan akan kempis dan berisiko,” katanya.

Khalid berkata banyak persoalan timbul kerana tidak mungkin sebagai kerajaan boleh tunduk kepada asakan pemaju “gagal dan culas” seperti LBCN dan Mujur Zaman.

Beliau berkata, jika pun benar terdapat lebih 30 tuntutan mahkamah, tanggungjawab kerajaan adalah mempertahankan hak dan tanah rakyat apatah lagi ketika berdepan dengan pemaju culas.

“Perkembangan isu tanah Ijok dari masa kerajaan negeri menandatangani penghakiman persetujuan, melepaskan hak tuntutan kepada 2,200 ekar dan yang akhirnya dijual kepada pemaju di bawah nilai sebenar, serta kelulusan pembangunan bernilai RM15 bilion; bersama-sama dengan soalan-soalan yang masih belum dijawab memberi persepsi bahawa ‘keuntungan’ yang dikatakan berpihak peneroka-peneroka dan kerajaan negeri juga berpihak kepada LBCN dan Mujur Zaman, dan pemaju berwibawa.

“Hakikatnya rakyat menuntut menteri besar dan kerajaan negeri untuk mendedahkan semua kronologi peristiwa dan dokumen-dokumen berkaitan termasuk dokumen-dokumen antara pemaju-pemaju dan supaya rakyat dapat menilai dengan sendiri kebenaran sepenuhnya, tiada lain melainkan yang benar belaka,” katanya.



---------------
Sumber:

Rujukan:

No comments:

Post a Comment