Sarawak, MAHB tubuh jawatankuasa naik taraf KIA - Randau Sarawak

Breaking

Monday, April 2, 2018

Sarawak, MAHB tubuh jawatankuasa naik taraf KIA

Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Malaysia Airport Berhad (MAHB) untuk menaik taraf kemudahan terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) agar setaraf dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara diberi perhatian melalui penambahbaikan yang bakal dilaksanakan nanti ialah kemudahan yang mesra pengguna dan balai berlepas yang canggih serta luas.

Beliau berkata, lapangan terbang berkenaan juga perlu dilengkapi kemudahan internet yang pantas kepada pengguna.

“Bagi membincangkan lanjut kerjasama dan pelaksanaan projek penambahnaikan ini, kerajaan negeri dan MAB bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing,” katanya berucap merasmikan Pelancaran Inisiatif Tanpa Tunai Lapangan Terbang di KIA di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, bagi memudahkan penumpang di lapangan terbang berkenaan, kerajaan negeri turut memasukkan KIA dalam laluan transit aliran ringan (LRT) yang bakal dibina nanti.

Beliau berkata, perkhidmatan LRT itu memudahkan penumpang untuk pergi ke pusat bandar raya atau turun di Hentian Bas Kuching Sentral di sini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga merancang menjadikan KIA sebagai zon perdagangan bagi mengeksport produk pertanian keluaran Sarawak.

“Antara tujuan menaiktaraf lapangan terbang ini ialah bagi memudahkan kerajaan negeri membantu penduduk tempatan memasarkan produk pertanian ke luar negara.

“Kita akan menggunakan lapangan terbang yang sudah dibesarkan ini untuk mendaratkan lebih banyak pesawat kargo yang digunakan bagi mengangkut hasil pertanian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengendali pengangkutan udara, Hornbill Skyways untuk mendapatkan pesawat kargo untuk digunakan bagi mengeksport hasil pertanian nanti.

Katanya, beliau juga sudah berbincang dengan kerajaan Singapura melalui hasil lawatan ke republik itu baru-baru ini berhubung kerjasama dalam perdagangan.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, Singapura bersetuju untuk mengeksport sayur-sayuran organik keluaran pekebun di negeri ini, malah urus niaga bayaran akan membabitkan aplikasi digital atau tanpa tunai. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment