#PRU14 : Sarawak Impikan Ganjaran lebih Besar - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, April 19, 2018

#PRU14 : Sarawak Impikan Ganjaran lebih Besar



Pada Pilihan Raya Umum Ke 13 , Barisan Nasional Negeri Sarawak telah mendapat ganjaran  memiliki wakil yang paling ramai dalam senarai anggota jemaah menteri. Daripada 33 jawatan menteri yang diperuntukkan dalam Kabinet Transformasi pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Sarawak diwakili tujuh kementerian dan empat jawatan timbalan menteri yang diandaikan para pemerhati sebagai langkah membalas budi kepada pengundi Sarawak kerana menyumbang 25 kerusi pada PRU13.

Pelantikan tujuh menteri penuh untuk Sarawak adalah peningkatan sebanyak empat berbanding kabinet terakhir.

Menteri-menteri penuh dari negeri ini ialah Dato Sri Douglas Uggah Embas (PBB), Senator Datuk Seri Idris Jala, Datuk Joseph Entulu Belaun (PRS), Datuk Richard Riot Jaem (SUPP), Datuk Fadillah Yusof (PBB) , Datuk Rohani Abdul Karim (PBB) dan Nancy Shukri (PBB).


Kini bahang PRU14 makin terasa bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat khas pada jam 10 pagi Selasa 10 April telah menetapkan bahawa PRU14 akan diadakan pada 9 Mei (Rabu). Pengumuman nama calon telah ditetapkan pada 28 April(sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu) .

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa rakyat Sarawak untuk memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang untuk kesinambungan pembangunan negeri Sarawak.Beliau berkata kerjasama erat antara kepimpinan BN di peringkat persekutuan dan negeri akan memudahkan projek pembangunan yang dirancang dilulus dan dilaksanakan.

Menurut Abang Johari, Najib bukan sahaja seorang perdana menteri yang paling kerap melakukan lawatan kerja ke Sarawak tetapi beliau juga seorang perdana menteri yang paling adil dan saksama dalam pengagihan pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


"Oleh itu, rakyat Sarawak perlu bertindak adil dan membalas budi pemimpin yang adil. Bagi rakyat Sarawak, PRU14 kita tidak ada pilihan tetapi menyokong Datuk Seri Najib dan BN. Jika kita boleh bersatu dan bekerjasama sudah pasti beliau (Najib) akan terus membantu kita dalam perlaksanaan pelbagai program pembangunan untuk negeri Sarawak dan rakyatnya".

Abang Johari berkata sebelum ini Najib amat mengambil berat keperluan pembangunan negeri ini apabila meluluskan beberapa projek infrastruktur seperti projek jambatan, jalan raya dan sekolah.

Beliau merakamkan terima kasih kepada perdana menteri kerana meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk program membaik pulih sekolah-sekolah daif di negeri ini dan RM500 juta untuk infrastruktur meningkatkkan kelajuan capaian internet.

Perdana menteri juga telah mempertimbangkan  memberi peruntukan untuk melaksanakan projek LRT di negeri ini bagi menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih selesa untuk rakyat negeri Sarawak. Kerajaan negeri Sarawak mempunyai rancangan untuk melaksanakan projek LRT dari Kuching, Kota Sentosa ke Serian sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

Ketua menteri turut meminta supaya perdana menteri membantu Sarawak memperkasakan sektor pertanian dan menambah Sarawak mempunyai perancangan untuk mentransformasikan sektor itu dengan penggunaan teknologi baharu.

Dalam pada itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia tetapi hanya mahu hak-haknya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang terhakis supaya dikembalikan. Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangannya telah melantik tiga Timbalan Ketua Menteri, iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Tan Sri Dr James Jemut Masing ke dalam jawatankuasa tertinggi untuk berunding dengan kerajaan persekutuan berkaitan pengembalian kuasa dan hak berkenaan kepada Sarawak.

Menjelang PRU14 , Barisan Nasional Sarawak komited untuk merampas kembali kerusi bandar yang telah dimenangi oleh pembangkang pada PRU13 dengan mensasarkan 5 kerusi dari DAP iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang, manakala Miri pula dimenangi PKR. Melihat semangat jentera Barisan Nasional Sarawak untuk menambah sekurang-kurangnya tiga kerusi menjadikannya 28 kerusi untuk PRU14 di harap akan memberi senyuman lebar untuk Barisan Nasional pada PRU14 sekaligus memberi lagi banyak ganjaran kepada negeri Sarawak untuk keputusan cemerlang A+++ yang di impikan .



No comments:

Post a Comment