PRU14 saksi lebih ramai calon wanita bertanding - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, April 29, 2018

PRU14 saksi lebih ramai calon wanita bertanding

Kepelbagaian latar belakang calon wanita yang ditampilkan parti-parti politik yang bertanding dan calon Bebas menghangatkan lagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bermula hari ini.

Seramai 251 wanita dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon pilihan raya umum kali ini.

Daripada 727 kerusi iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ini, Barisan Nasional (BN) menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU13 dan 36 calon wanita pada PRU12.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM meletakkan seramai 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding. PAS pula meletakkan 36 calon wanita daripada jumlah 548 calon yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Parti Warisan menampilkan sembilan calon wanita, Harapan Rakyat (HR) (tujuh); Parti Rakyat Malaysia (PRM) (lima); Penang Front Party (PFP) (tiga); People's Action Party (PAP) (dua); Parti Cinta Sabah (PCS) (dua) dan lima wanita bertanding sebagai calon Bebas.

Pecahan mengikut parti berkenaan berdasarkan angka yang diperoleh Bernama setakat ini.

Angka ini menunjukkan lebih ramai calon wanita diberi kepercayaan untuk mewakili parti masing-masing dan memasuki gelanggang PRU14 dengan kekuatan tersendiri, bukan sekadar menjadi pelengkap kepada senarai calon.

Calon-calon wanita terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai kelayakan akademik yang bukan calang-calang, dengan ada di antara mereka bekerjaya sebagai peguam, doktor, bekas guru dan memegang jawatan utama dalam parti yang diwakili.

Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika mengulas mengenai calon wanita BN untuk PRU14 berkata peningkatan bilangan calon wanita berbanding PRU13 membuktikan BN komited dengan janji-janji memperkasakan kedudukan wanita dalam semua sektor termasuklah dalam bidang politik.

"Calon wanita BN merupakan gabungan muka baharu dan lama. Kombinasi ini membuktikan BN sentiasa membuka ruang kepada pembaharuan tanpa mengetepikan faktor pengalaman dalam memformulasi kemenangan BN dalam PRU14 ini," katanya.


Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Ismail Sualman, pencalonan wanita dilihat sebagai strategi menarik undi pengundi wanita yang terdiri daripada 67 peratus daripada jumlah keseluruhan 14.9 juta pengundi berdaftar.


"Kemungkinan besar untuk mereka menang itu ada kerana wanita akan undi wanita, saya percaya hampir 90 peratus daripada calon-calon wanita yang ditampilkan di peringkat Parlimen boleh menang," katanya ketika dihubungi Bernama. 


Katanya calon wanita juga mempunyai kelayakan kerana telah melalui saringan yang ketat daripada senarai calon berpotensi lelaki dan perempuan.

"Mereka telah diuji dari segi integriti, kebolehan dan aspek penerimaan masyarakat setempat, itu semua diambil kira sebelum mereka dipilih sebagai calon, jadi tidak timbul persoalan kredibiliti," katanya.

Walaupun ada peningkatan dalam pencalonan kaum hawa berbanding pilihan raya umum terdahulu, Ismail yang merupakan pensyarah kanan UiTM berkata jumlah itu masih kecil kerana iklim politik Malaysia belum terbuka untuk menerima lebih ramai wanita ditampilkan.

"Tetapi, dalam kalangan pengundi muda mereka tidak kisah sama ada calon yang diletakkan itu lelaki atau wanita kerana telah terbukti wanita mempunyai kewibawaan, di mana-mana institusi pengajian tinggi pun (penuntut) wanita mengisi lebih 60 peratus.

Di pihak pembangkang, katanya calon wanita kebanyakannya terdiri daripada muka lama yang mempunyai kekuatan sendiri dalam kalangan penyokong, seperti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penyandang Parlimen Permatang Pauh yang akan bertanding di Parlimen Pandan dan anaknya yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan kali ini akan bertanding di Permatang Pauh.

Seorang lagi penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat peningkatan jumlah wanita dalam senarai calon BN merupakan testimoni kepada komitmen kerajaan dalam memperkasakan golongan itu.

Ini bertepatan dengan manifesto BN yang meletakkan golongan wanita pada kedudukan paling istimewa dan hakikat ini dapat dilihat daripada 364 inisiatif yang terkandung dalam manifesto BN, dengan lebih 80 peratus daripadanya adalah untuk menjayakan dan membahagiakan wanita serta golongan muda di negara ini. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment