PRU14: Penyertaan 30 peratus calon wanita bakal beri impak besar - Rohani - Randau Sarawak

Breaking

Monday, April 16, 2018

PRU14: Penyertaan 30 peratus calon wanita bakal beri impak besar - Rohani

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berharap pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertambahan jumlah calon wanita.

Kata Rohani, pihaknya berharap PRU14 akan disertai sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita.

Sejajar dengan Manifesto Barisan Nasional yang mengutamakan wanita, calon-calon wanita tentunya akan membawa impak yang besar kepada parti secara amnya dan rakyat khususnya.

"Saya sudah menasihatkan parti-parti politik supaya melakukan sesuatu untuk memastikan ada pertambahan dalam kalangan calon wanita.

"Asasnya perlu besar. Jika parti mempunyai ramai anggota wanita, tentu lebih ramai wanita dipilih sebagai calon dan lebih ramai juga akan terpilih sebagai wakil rakyat," katanya ketika ditemui pada sesi pertemuan dengan media di KLIA, hari ini.

Beliau juga meminta agar mereka yang tidak terpilih supaya tidak kecewa, sebaliknya terus menyumbang bakti dan tidak putus asa dalam memperjuangkan isu berkaitan wanita.

Dalam masa yang sama, Rohani sempat berpesan supaya calon-calon wanita yang dipilih dan seterusnya diundi sebagai wakil masyarakat agar membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental.

"Kerja dalam bidang politik bukan senang. Perlu pandai membahagikan masa dan saya tidak nafikan, peringkat awal memang 'sakit'.

"Tapi jika ada minat yang mendalam, lama-kelamaan ia akan menjadi senang dan kita akan seronok melakukan kerja-kerja untuk masyarakat.

"Lebih penting, perwakilan wanita yang dipilih nanti perlu menerima sokongan bukan sahaja dari masyarakat tetapi juga anggota keluarga. Suami, anak-anak, ibu bapa, semuanya perlu memainkan peranan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment